BUTTERWORTH - Majlis Perbandaran Seberang Perai
(MPSP) mengeluarkan empat papan tanda yang mengatakan bahawa sesiapa
membuang sampah di merata-rata tempat adalah lebih bodoh daripada beruk.
Papan tanda itu dikeluarkan dalam tiga bahasa yang memaparkan gambar seekor beruk menjelirkan lidahnya.
Ahli Majlis bagi MPSP, David Marshel berkata, papan tanda itu hanya ditempatkan di kawasan pembuangan sampah secara haram.
"Saya percaya mesej itu dapat disampaikan kepada orang awam. Kita
meletakkan papan tanda ini di Taman Kepar dekat sebuah sekolah dan kadar
sampah yang dibuang menurun hampir ke paras sifar sekarang berbanding
satu tan seminggu sebelum ini," katanya.
Beliau berkata, majlis perbandaran itu belum ada perancangan untuk meletakkan lebih banyak papan tanda setakat ini.
Marshel berkata, pendekatan baharu itu digunakan kerana papan tanda
sebelum ini yang mengatakan jumlah denda yang dikenakan tidak berkesan
untuk mengatasi pembuangan sampah secara haram. -mStar