Anggota penguatkuasa MPSPK merampas gegantung dan poster tanpa permit yang ditampal di lokasi tidak sepatutnya. |
Ketua Bahagian Penguatkuasa MPSPK, Roslin Bakar berkata, turut dirampas gegantung ceramah, kenduri kahwin dan iklan perniagaan yang diletakkan tanpa permit serta mengganggu lalu lintas.
Menurutnya, operasi yang bermula pada jam 9.30 pagi itu berakhir kira-kira jam 12.30 pagi dan disertai 10 anggota penguatkuasa meliputi sekitar pusat bandar Sungai Petani, Penghulu Him serta Jalan Lencongan Barat Sungai Petani.
“Kita dapati bukan sahaja gegantung yang diletak tiada kebenaran, malah iklan yang diletakkan di tempat tidak sepatutnya seperti di tengah simpang, tiang lampu isyarat dan di pokok juga dirampas,” katanya.
Beliau berkata, syarikat atau pihak yang didapati melanggar peraturan akan dikenal pasti dan dikenakan amaran.
Jelasnya, kesemua gegantung dan poster yang dirampas akan dilupuskan.
"Penguatkuasaan dilakukan bagi memastikan tidak berlaku vandalisme apabila kemudahan awam dijadikan sasaran menampal iklan termasuk merosakkan tanaman apabila iklan dilekat di pokok.
"Tindakan dilakukan mengikut Undang-undang Kecil Iklan (MPSPK) 2010," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Penguatkuasaan MPSPK, Anil Aris berkata, jabatannya komited dalam usaha memastikan imej bandar Sungai Petani kekal terpelihara dan memberi peringatan kepada semua pihak mematuhi undang-undang.
“Bagaimanapun, kerjasama masyarakat dalam menjaga kebersihan di bandar ini amat diperlukan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian