MTEM Sambut Baik, Tapi Perlu Pastikan LPN Bebas Rasuah

Gambar Hiasan
ALOR SETAR - Cadangan kerajaan mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) disambut baik semua pihak termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Penyelidik MTEM, Nur Fitri Amer Mohamad berkata, perkara utama perlu ditekankan adalah memastikan LPN bebas rasuah bagi memastikan pengurusan padi dan beras dapat dilakukan secara lebih menyeluruh serta mantap.

Menurutnya, kewujudan semula LPN perlu bagi mengisi ruang kosong dalam rantaian makanan yang wujud antara pengagihan institusi berkaitan.

“Sebagai contoh Padi Beras Nasional (Bernas) hanya menumpukan kepada hasil pengeluaran padi manakala keperluan petani diuruskan oleh beberapa agensi terlibat seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

“Justeru akan ada ruang yang terputus antara agihan dari pengeluaran hingga penghasilan itu,” katanya kepada media di pejabat Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Seberang Jalan Putra, di sini.

Nur Fitri Amer berkata, sehingga kini Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran padi mencecah 100 peratus masih belum dapat dicapai.

“Perkara drastik seperti mewujudkan semula LPN perlu dilaksanakan segera.

“Beberapa perkara lain perlu dilakukan seperti Prosedur Operasi Standard (SOP) pengagihan kuota dan pembersihan beras (berkait dengan beras ST15), banteras eksploitasi petani, beras keluaran negara perlu diberi nilai tambah serta tingkatkan kualiti,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian