Mueller Lantik Nadziruddin Jadi CEO Anak Syarikatnya

Mohd Nadziruddin Mohd Basri
MALAYSIA Airlines (MAS) telah melantik Mohd Nadziruddin Mohd Basri, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat baharu, MAB Ground Handling Services Sdn Bhd, berkuatkuasa pada 1 September, 2015.

"Nadziruddin membawa bersamanya pengalaman lebih 20 tahun dalam operasi penerbangan, pelaburan serta kewangan.

"Menerusi jawatan terbaharu itu Nadziruddin akan menumpukan usaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kendalian lapangan yang disediakan untuk penumpang serta pesawat syarikat penerbangan baharu ini serta penerbangan pihak ketiga," kata CEO MAS, Christoph Mueller, dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Nadziruddin bersama MAS sejak akhir 2013 sebagai Ketua Pegawai Kewangan sehinggalah dilantik mengetuai Pejabat Pengurusan Penstrukturan Semula sebagai Ketua Pegawai Penstrukturan Semula pada akhir 2014.

Antara jawatan lain disandangnya di MAS selama enam tahun adalah Pengurus Besar, Pengurusan Projek dan Jaminan (2001-2004) dan Pengurus Besar Kanan Operasi Lapangan Terbang (2005-2007).

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perakaunan dan Kewangan London School of Economics serta menjadi ahli Institut Perakaunan Malaysia (MIA). – Bernama