Mueller Terbukti Berkelayakan Terajui, Pulihkan MAS

KUALA LUMPUR – Pelantikan Christoph R. Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (syarikat baharu MAS) dibuat berdasarkan kelayakan dan pengalamannya dalam memulihkan syarikat penerbangan yang bermasalah.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata masalah dihadapi Malaysia Airlines (MAS), sama seperti yang berlaku kepada Aer Lingus, yang akhirnya berjaya dipulihkan Mueller setelah beliau menyertai syarikat penerbangan Ireland itu.

“CEO yang telah memulihkan Aer Lingus dan berjaya ialah Christoph Mueller, oleh itu kita lantik beliau untuk jadi CEO, bukan saja-saja pilih sesiapa yang tidak ada kelayakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Khairiah Mohamed pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Khairiah ingin tahu kenapa dalam kalangan peringkat pengurusan atasan syarikat baharu MAS terdiri daripada orang luar atau pun warga negara asing.

Ahmad bagaimana pun berkata, dalam masa yang sama, syarikat baharu MAS masih mengekalkan CEO yang lama, Ahmad Jauhari Yahya, sebagai pengarah bukan eksekutif MAS kerana kepakaran serta pengalaman beliau masih diperlukan di syarikat itu.

Menjawab soalan asal Khairiah mengenai pelan pemulihan MAS bagi memastikan kebajikan kakitangan yang diberhentikan, Ahmad berkata sehingga kini sebanyak 5,500 peluang pekerjaan daripada 30 syarikat disediakan kepada kakitangan MAS berkenaan.

“Sementara itu, seramai 2,611 kakitangan yang telah meninggalkan MAS telah berdaftar dengan Pusat Pembangunan Korporat (CDC) yang ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

“Sebanyak 448 program telah disediakan CDC antaranya kaunseling kerjaya, keusahawanan, perancangan persaraan, latihan asas serta kemahiran mencari kerja bagi membolehkan kakitangan ini merancang masa depan mereka,” katanya.

Ahmad turut memberitahu bahawa semua pampasan dan kemudahan yang disediakan untuk kebajikan kakitangan yang tidak lagi berkhidmat dan yang masih kekal dalam MAS menelan belanja sebanyak RM1.5 bilion.

Selain itu katanya, kerajaan juga terpaksa membelanjakan sebanyak RM19.2 bilion sejak 2001-2014, bagi memulihkan MAS akibat kegagalan penswastaannya yang dibuat pada 1990an. – BERNAMA