Mujahid Bidas Abdul Hadi, Gesa Bersikap Lebih Matang

Bekas AJK PAS Pusat, Datuk Mujahid Yusof Rawa
ALOR SETAR - Bekas AJK PAS Pusat, Datuk Mujahid Yusof Rawa membidas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya bersikap lebih matang dan menghormati hak demokrasi individu lain di dalam PAS.

Mujahid mendakwa, mulut Abdul Hadi tidak wajar memperlekeh beberapa pemimpin PAS yang bersuara mahu mencari "wadah perjuangan" baru selepas tidak terpilih di dalam barisan kepimpinan baru parti berkenaan pada awal bulan ini.

"Saya rasa, mana-mana Presiden dari mana-mana parti akan bertindak dengan cara yang sama tetapi saya berharap respon beliau perlu lebih matang, dan beliau boleh menghormati hak demokrasi sesiapa sahaja pun untuk membentuk parti baru atau pakatan.

"Jika saya jadi Presiden, inilah apa yang saya akan cakap. Saya akan menyuarakan harapan bahawa kita boleh bekerjasama dengan parti baru ini jika kita bersetuju mengenai gambaran yang lebih besar. Kita perlu bekerjasama dengan orang lain demi kepentingan bersama rakyat.

"Tetapi malangnya ia datang daripada mulut seorang presiden yang memperkecilkan hak demokrasi anggota PAS.

"Beliau bukan sahaja memperkecil, malah memandang rendah terhadap mereka (dengan menyifatkan) seperti kapal tenggelam atau nyamuk," katanya yang dipetik dari portal yang sering dikait sebagai pro-pembangkang, Malaysiakini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Ahli Parlimen Parit Buntar itu mengulas mengenai kenyataan terbuka Abdul Hadi yang menganggap pemimpin PAS yang mahu mencari wadah baru di luar parti itu seolah-olah mereka bagai sebuah "kapal tenggelam atau nyamuk".

Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin parti yang turut tersingkir dari barisan pucuk pimpinan PAS didakwa membayangkan hasrat mencari "wadah baru" dengan menubuhkan parti baru selepas Aidilfitri ini.

Beberapa pihak sebelum ini melihat perkembangan tersebut sebagai bakal memecah-belahkan PAS, manakala sebahagiannya pula berpandangan ia hanyalah muslihat untuk menarik simpati dan perhatian orang ramai pada pemimpin yang kecewa. -Kedahnews.com