Mukhriz Saksi Pengkemubian Semula 21 Jenazah Pelarian Rohingya

Disemadikan di dalam satu liang lahad
ALOR SETAR - Jenazah 21 mangsa pemerdagangan manusia dipercayai pendatang Rohingya dari Myanmar yang ditemui di kem tahanan Bukit Wang Burma, Wang Kelian sebelum ini selamat dikebumikan di tanah perkuburan khairiah Kampung Tualang, Pokok Sena, hari ini.

Jenazah-jenazah berkenaan disemadikan di dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Khairiah, Kampung Tualang, Pokok Sena pagi tadi dan turut disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.


Turut sama hadir di majlis pengkebumian semula itu ialah Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Semalam, Mukhriz mengumumkan tentang pengkebumian 21 jenazah berkenaan selepas selesainya proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.


Difahamkan bahawa semua jenazah tersebut merupakan daripada kumpulan pertama yang ditemui di kem tahanan di sempadan Malaysia-Thailand yang menggemparkan seluruh negara itu. 

Upacara pengkebumian itu diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (Jaik) dan semua kos pengkebumian ditanggung oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Selain itu, baki 85 jenazah lagi dilapor akan dikebumikan secara berperingkat-peringkat selepas proses bedah siasat di HSB selesai.

Pada 25 Mei lalu, pasukan Polis menemui lebih 100 rangka manusia mangsa aktiviti pemerdagangan manusia oleh sindiket dalam kubur di kem tahanan sementara di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis. -Kedahnews.com