Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengejutkan ramai pihak khususnya ahli
PAS sendiri setelah bertindak mengeluarkan satu senarai calon yang wajar
dipilih pada Muktamar PAS ke-61, kali ini.
Menerusi status di laman Facebook rasminya hari ini, Dewan Ulamak
melampirkan satu senarai nama calon pilihan bagi jawatan tertinggi parti
iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden selain dari 18
nama sebagai AJK PAS Pusat.
Secara majoritinya, cadangan bagi calon pilihan untuk jawatan
tertinggi parti dikuasai oleh golongan pro ulamak yang mana Presiden,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikekalkan menduduki kerusi sama.
Selain itu, bagi jawatan Timbalan Presiden, nama Datuk Tuan Ibrahim
Tuan Man diseru sebagai individu sesuai, lantas mengetepikan nama
seorang lain calon, Mat Sabu.
Semua tahu, Mat Sabu merupakan individu yang dilihat tidak sebulu
dengan golongan konservatif PAS dan lebih memihak kepada puak Pakatan
Rakyat.
Seterusnya, bagi jawatan Naib Presiden parti pula, tiga nama calon
yang dicadangkan adalah Ustaz Idris Ahmad, Dato Mohd Amar Abdullah dan
Dato Iskandar Abd Samad.
Ia sekaligus menolak tiga lagi calon lain iaitu iaitu Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.
Sementara itu, dalam senarai calon pilihan Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat, Dewan Ulamak dikatakan meletakkan calon-calon dari golongan
profesional.
Justeru, ada andaian mengatakan, golongan ulama ingin menguasai sepenuhnya jawatan tertinggi PAS. Betul ke?
Dalam pada itu, perebutan jawatan dalam dua sayap PAS iaitu Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat dikatakan turut sengit.
Muktamar kali ini pastinya bakal mencipta lebih banyak kejutan,
lebih-lebih lagi setelah kedudukan Presiden yang tidak pernah dicabar
selama 13 tahun penguasaan Abdul Hadi, akan cuba digugat oleh Ustaz
Ahmad Awang.
Bukan itu sahaja, Muktamar PAS kali ini turut menjadi titik tolak
kelangsungan gabungan Pakatan Rakyat setelah pergolakkan berlaku antara
parti itu dan DAP sejak sekian lama.
Ada ura-ura juga mengatakan, DAP hanya menunggu keputusan Muktamar
kali ini sebelum mengumumkan penarikan diri dari PR andai kemenangan
berpihak kepada Abdul Hadi.
Kita tunggu dan lihat sahaja siapa yang akan menjuarai pemilihan kali
ini, dan apakah hayat PAS sebagai sebuah parti politik Islam akan kekal
unggul ataupun…