Muktamar PAS: Keputusan Pemilihan Mungkin Akan Diketahui 10 Malam Ini

Abdul Hadi disambut dengan laungan takbir selepas membuang undi
ALOR SETAR - Seramai 1,189 perwakilan PAS dari seluruh negara yang layak mengundi dilaporkan sedang memilih barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2015-2017 kira-kira pukul 4.10 petang, hari ini.

Pengundian dilakukan mengikut negeri dan dijangka berakhir pukul 7 malam, sebentar tadi.

Tumpuan kini terarah kepada tiga jawatan tertinggi parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib presiden yang menyaksikan pertembungan sengit antara kumpulan ulama dan profesional.

Sementara itu, perebutan kerusi untuk Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang menyaksikan 18 kerusi dipertandingkan, turut mencuri tumpuan pemilihan pucuk pimpinan parti itu kali ini.

Pada pemilihan kali ini juga, berlaku pertembungan satu lawan satu untuk dua jawatan tertinggi parti itu, manakala jawatan Naib Presiden membabitkan pertandingan enam penjuru.

Bagi jawatan Presiden, penyandangnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menentang Ahmad Awang.

Penyandang Timbalan Presiden PAS, Mohamed Sabu pula akan dicabar Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam usaha mengekalkan jawatannya itu.

Dua penyandang Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub akan dicabar empat calon lain iaitu, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Idris Ahmad.

Penyandang jawatan Presiden, Abdul Hadi turut dilaporkan telah membuang undi kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

Sebaik selesai beliau membuang undi, Hadi disambut dengan laungan takbir oleh para penyokongnya di muktamar tersebut.

Pengarah pemilihan pucuk pimpinanan PAS, Asmuni Awi, memberitahu media bahawa keputusan paling awalpun akan diketahui kira-kira jam 10 malam ini. -Kedahnews.com