Muktamar PAS: "Panas Telinga", Suhaizan Kayat Teruk "Dibelasah" Perwakilan Pemuda

Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat teruk dikritik para perwakilan Dewan Pemuda PAS hari ini apabila ramai perwakilan yang berucap di pentas muktamar sayap parti secara terbuka menyerangnya tanpa belas kasihan.

Pemuda PAS Pusat dikatakan tidak beriman dan pengecut kerana membiarkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dihina rakan sekutu mereka, DAP.

Kenyataan terang dan jelas itu dibuat Wakil Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Ridzuan Ariffin ketika membahaskan ucaptama Ketua Pemuda PAS.

“Dia menyerang dan menghina Presiden PAS, Pemuda diam bisu seribu bahasa, ini bukan simbol anak soleh yang melihat bapanya dihina.

“Ini bukan sifat pemuda beriman tetapi pengecut,” katanya yang dipetik dari media, hari ini.
Dalam masa sama, Ridzuan turut memberi ingatan yang beliau tidak akan berdiam diri sekiranya Abdul Hadi terus dihina oleh mana-mana pihak.

“Kepada rakan pakatan mahupun lawan, Pemuda PAS tidak akan sesekali benar presiden kami dihina dan ditentang, kami akan buat apa sahaja untuk pertahankan presiden kami,” tegasnya di hadapan seluruh perwakilan Pemuda PAS di Shah Alam.

Perwakilan PAS Perlis, Azahari Osman turut menyatakan kekecewaannya terhadap segelintir ahli PAS yang dituduh berlidah syaitan kerana sanggup menyebar fitnah.

“Di peringkat Pemuda, saya agak kecewa apabila ada segelintir ahli PAS bahkan kepimpinan yang jadi lidah syaitan dalam jemah kita, inilah golongan yang cuba timbulkan huru hara dalam jemaah kita,” tegasnya kesal.

Sementara itu, cubaan perwakilan Pemuda PAS Johor membangkitkan isu wala' (taat setia) kepada Suhaizan turut disambut dengan sorakan "booo.." panjang yang mampu memalukan Ketua Pemuda PAS berkenaan.

Syafiq Aziz mempersoalkan mengapa terdapat segelintir ahli yang hanya walak kepada individu tertentu tetapi tidak kepada pemimpin sayap kanan parti itu Suhaizan Kaiat.

"Mutakhir ini timbul masalah tarbiah contohnya yang berlaku ialah walak yang terpilih. Kita tak walak pada keputusan parti tetapi kita boleh walak pada individu tertentu.

"Sebagai contoh, kita semua dalam dewan muktamar ini bersetuju untuk walak kepada presiden, tetapi kenapa dalam konteks Pemuda, kita tidak walak kepada ketua pemuda dan saf pimpinannya hari ini," katanya cuba mempertahan Suhaizan.

Kenyataan yang dibuat Syafiq itu mendapat "boo" dari pemerhati serta perwakilan sehingga menyebabkan Timbalan Pengerusi Tetap Dr Ridhuan Mohd Noor meminta supaya semua orang bertenang.

"Bertenang," kata Ridhuan sebagaimana yang dipetik dari portal Malaysiakini.

Selain itu, perwakilan Pemuda PAS Terengganu pula menegur Suhaizan supaya memperhalusi dan memahami terlebih dahulu Al-Quran agar faqih dengan perintah Allah SWT sebelum beliau melaungkan slogan perjuangan.

"Perbetulkan bacaan al-Quran sebelum melaungkan perjuangan. Jangan ambil mudah bacaan al-Quran. Bacaan al-Quran ini pun tidak diperhalusi jadi di mana wawasan rabbani, faqih dan haraki yang diutarakan?" kritik Raja Arizal pula.

Perkara sama turut dibangkitkan oleh perwakilan Selangor Mohd Zuhdi Mat Piah.

"Saya tak minat nak kritik dalam Facebook tetapi saya nak kritik di sini, di muktamar. Sepatutnya ucapan itu dibaca berkali-kali dan dirujuk dulu dengan mereka yang mahir terutamanya kalimah yang menggunakan bahasa Arab.

“Saya minta maaf dan saya tak nak ia berulang dan disebut di media sosial di luar sana. Kita sebut di sini (muktamar),” katanya yang dipetik dari sumber yang sama.

Jawatan Suhaizan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat kali ini dicabar Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga merupakan AJK PAS Pusat dan anak kepada ikon ulama PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. -Kedahnews.com