Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Restoran dan gerai mamak 24 jam yang terkenal di Malaysia mungkin tiada lagi pada masa akan datang.
Cadangan telah dikemukakan kepada kerajaan untuk mengetatkan kawalan
ke atas kedai makan yang dibuka sehingga lewat malam, dengan tujuan
membendung gejala sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim
berkata, cadangan untuk mengehadkan waktu operasi hingga tengah malam
turut disertakan dengan aduan bahawa premis-premis seperti itu menjadi
punca peningkatan gejala sosial di seluruh negara.
“Satu nota dan kertas cadangan akan diserahkan kepada Timbalan
Perdana Menteri dan Majlis Sosial Negara,” katanya kepada pemberita di
lobi Parlimen di sini, Khamis.
“Ia bukan satu larangan menyeluruh ke atas semua restoran atau tempat
makan tetapi hanya melibatkan kawasan tertentu seperti kawasan
perumahan dan kawasan luar bandar.”
Shahidan memberi jaminan bahawa kedai-kedai francais seperti
McDonalds dan Kentucky Fried Chicken tidak termasuk dalam larangan
tersebut.
Shahidan berkata di negara-negara lain, kebanyakan kedai makan dan restoran ditutup sebelum tengah malam.
“Malaysia mungkin satu-satunya negara di dunia di mana seseorang boleh mencari kedai makan dan restoran yang dibuka 24 jam.
“Tetapi di sini ia berbeza kerana ramai yang datang memerlukan
perkhidmatan seperti ini, seperti pelancong, pendatang asing dan
sebagainya. Kelonggaran ini telah menyumbang kepada masalah sosial.
“Terdapat kebimbangan bahawa anak muda menghabiskan masa terlalu
banyak di tempat-tempat seperti ini dan melibatkan diri dalam
aktiviti-aktiviti yang tidak sihat,” kata Shahidan.
Selain menjadi kegemaran pendatang asing, beliau berkata restoran-restoran itu juga bising dan menarik perhatian tikus.
“Ada zon tertentu yang membolehkan restoran dan kedai-kedai makan beroperasi untuk memastikan penduduk tidak terjejas,” katanya.
“Usaha ini (membendung gejala sosial) memerlukan kerjasama Menteri
Pelancongan dan Kebudayaan, pihak berkuasa tempatan seperti Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur dan pihak-pihak lain.”
Shahidan berkata, isu itu juga hangat diperkatakan di media sosial,
justeru kerajaan perlu mengambil kira pandangan daripada pemain industri
makanan dan hiburan, memandangkan perkhidmatan mereka diperlukan oleh
pelancong dalam dan luar negara.
Sebelum itu, pada persidangan Dewan Negara, Shahidan berkata
ketagihan Internet adalah antara faktor mengapa ramai orang berhaja
hingga lewat malam berbanding tidur awal.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Asyraf Dusuki (BN-Kelantan). – mStar