KUALA LUMPUR – Negara mungkin menghadapi wabak denggi
terbesar pernah berlaku dengan lebih 40,000 kes dan 157 kematian
dilaporkan sejak Januari tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata angka itu
mengejutkan berbanding apa yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun
lepas.
“Jumlah kematian tahun ini berganda berbanding tempoh yang sama tahun
lepas, dan 30 peratus lagi kes dilaporkan, yang jauh lebih tinggi dari
tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka
puasa dengan media di sini, semalam.
Beliau berkata banyak kes baharu yang dilaporkan tahun ini ialah jenis Denggi yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Dahulu, ia cuma demam denggi berdarah. Sekarang, denggi boleh
menyebabkan kegagalan hati berfungsi, radang paru-paru, jangkitan otak.
Tingkah laku virus berbeza sekarang,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai insiden ‘sarung’ di
Hospital Sungai Buloh, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham
Abdullah berkata para pelawat telah ditahan oleh pengawal keselamatan,
bukan oleh pihak pengurusan hospital.
Bagaimanapun, beliau berkata pengawal tersebut telah diberi amaran
dan latihan akan diberikan untuk membolehkan beliau memahami prosedur
hospital.
“Pengawal keselamatan itu baru bertugas di hospital itu. Setiap tempat mempunyai garis panduan mengenai pakaian,” kata beliau.
Media tempatan hari ini melaporkan seorang wanita telah ditahan oleh
pengawal keselamatan di pintu masuk Hospital Sungai Buloh pada 16 Jun
kerana memakai seluar pendek. – BERNAMA