MyWanita: Dari Wanita Untuk Wanita

Portal MyWanita
KUALA LUMPUR – Usahawan wanita yang baharu berkecimpung dalam perniagaan secara dalam talian kini boleh memanfaatkan portal MyWanita untuk memperkenal dan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata beliau mengharapkan lebih ramai wanita berdaftar dengan portal berkenaan bagi mendapatkan maklumat serta panduan berkaitan perniagaan dengan lebih mudah.

“Saya menggesa lebih ramai usahawan wanita berdaftar di portal tersebut supaya lebih banyak produk dapat diketengahkan untuk meningkatkan ekonomi wanita di negara ini,” katanya.

Rohani menarik perhatian bahawa program SSM-ONE2015 (Suruhanjaya Syarikat Malaysia Online Networking Entrepreneurs) merupakan platform untuk usahawan baharu berbuat demikian.

Beliau bercakap kepada Bernama selepas Slot Sepetang ONE2015 bersama wakil daripada beberapa syarikat.

Setakat ini, katanya 458 usahawan di bawah Jabatan Pembangunan Wanita telah berdaftar dengan portal MyWanita yang turut menyediakan ‘Perkhidmatan Usahawan’.

Program SSM-ONE2015 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menampilkan pelbagai aktiviti seperti forum, taklimat serta pendaftaran perniagaan, penampilan selebriti, lelongan amal, demonstrasi produk dan pembukaan gerai-gerai jualan oleh usahawan wanita. – BERNAMA