Bekas calon naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar |
KUALA LUMPUR - Bekas calon naib presiden PAS yang
tewas dalam pemilihan parti itu awal bulan ini, Datuk Mahfuz Omar
menafikan bersetuju menerima pelantikannya ke jawatan Ahli Jawatankuasa
Kerja PAS Pusat.
Menurut bekas Ketua Penerangan PAS itu, beliau tidak menerima
sebarang surat lantikan seperti yang didakwa Timbalan Presiden PAS,
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
"Macam mana saya nak terima atau tidak (pelantikan) sedangkan saya tak dapat pun surat.
"Saya akan jawab secara bersurat terima atau tidak selepas dapat
surat lantikan. Buat masa ini saya ada di Kedah dan tak diberitahu
apa-apa mengenai pelantikan ini," katanya ketika dihubungi mStar Online
di sini, Ahad.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu pada masa sama turut terkejut apabila
dimaklumkan bahawa beliau tersenarai antara lapan AJK PAS Pusat yang
baharu dilantik untul sesi 2015-2017.
Terdahulu Tuan Ibrahim mengumumkan senarai penuh AJK PAS Pusat
termasuk tiga calon kumpulan progresif yang tewas dalam pemilihan parti
baru-baru ini.
Selain Mahfuz, dua lagi yang dilantik ialah Salahudin Ayub dan Mohd Taufek Abdul Ghani.
Sementara itu sumber dalaman parti memberitahu bahawa beliau yakin
ketiga-tiga pemimpin berkenaan tidak akan menerima pelantikan tersebut.
"InsyaAllah mereka akan tolak," kata sumber itu yang enggan dikenali.
Salahudin dan Mohd Taufek bagaimanapun gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan.
Sumber: mStar