Naib Presiden PAS Bidas Pihak Putar Belit Usul Dewan Ulama

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad
ALOR SETAR - Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad meluahkan rasa peliknya tentang segelintir pihak yang dikatakan sengaja memutar belit sehingga mencetus salah faham mengenai usul kontroversi yang dicadangkan Dewan Ulama PAS pada muktamar parti itu awal Jun lalu.

Dalam kenyataan beliau, Iskandar menekankan bahawa usul Dewan Ulama PAS itu membentangkan usul berkenaan dengan hanya mencadangkan usul berkenaan supaya diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat.

Kata Iskandar, usul Dewan Ulama PAS itu berbunyi;

"Maka Muktamar Dewan Ulamak PAS Kali ke-54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal di dalam Pakatan Rakyat" katanya mendedahkan usul sebenar Dewan Ulama PAS itu.

Maka jelasnya, tepatlah persetujuan yang diterima usul berkenaan di Muktamar PAS ke-61 itu yang meluluskan usul berkenaan supaya diperbahas dan dibincang di peringkat tertinggi parti yang merujuk pada Majlis Syura PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat di peringkat eksekutifnya.

Justeru itu, kehairanan beliau menjurus kepada pihak yang dikatakan telah bersusah payah menerangkan secara panjang lebar mengenai perlembagaan PAS yang dianggap satu tindakan menjelaskan mereka tidak faham berkenaan usul tersebut.

"Tetapi ada pihak yang mengambil keputusan untuk membakul sampah keputusan muktamar PAS itu dengan mengumumkan perkara yang tidak diputuskan muktamar.

"Mereka mengatakan muktamar telah memutuskan hubungan dan berhujjah bahawa keputusan muktamar perlu dipatuhi.

"Ada yang menghuraikan dengan panjang lebar tentang Perlembagaan PAS tetapi usul yang mereka fahami adalah bukan usul yang diluluskan oleh muktamar," kata Naib Presiden PAS yang baru dipilih perwakilan PAS pada muktamar berkenaan.

Beberapa pemimpin PAS yang dikatakan pro-Pakatan Rakyat dilaporkan mendakwa bahawa PAS secara automatik memutuskan hubungan dengan DAP berdasarkan usul kontroversi berkenaan sebelum ini.

Tindakan tersebut seolah menyanggah kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan bahawa usul tersebut akan dibincang dan diputuskan oleh Majlis Syura PAS dalam masa terdekat. -Kedahnews.com