MAKKAH – Projek fasa ketiga menaik taraf mataf, iaitu tempat tawaf
bertingkat mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram di sini, dijangka siap
sebelum musim haji tahun ini.
Datuk Bandar Makkah, Dr Osama Fadl al-Baar, berkata apabila siap
kelak, kira-kira 130,000 orang boleh mengerjakan tawaf mengelilingi
Kaabah setiap jam, berbanding keupayaan mataf masa ini yang menampung
kira-kira 70,000 orang sejam semasa musim haji, umrah dan 10 hari
terakhir Ramadan.
Beliau berkata, projek berkenaan meningkatkan kapasiti mataf
berbanding hanya 45,000 orang sejam sebelum struktur yang melingkari
Kaabah itu dinaik taraf.
“Bermakna, kapasiti mataf bakal dipertingkatkan kepada dua orang
setiap meter persegi, sekali gus membolehkan struktur itu menampung
lebih ramai jemaah,” katanya dalam sidang akhbar bersama media Malaysia
di pejabatnya di sini, semalam.
Turut hadir, Konsul Haji Tabung Haji (TH), Redhuan Sabaruddin. Osama
berkata, fasa menaik taraf mataf yang seterusnya dijadualkan siap pada
tahun depan. “Apabila projek pembesaran masjid tersebut siap, kira-kira
dua juta umat Islam boleh mengerjakan solat dalam kawasan Masjidil
Haram.
Jumlah itu adalah peningkatan tiga kali ganda kapasiti Masjidil Haram
berbanding sebanyak 600,000 jemaah sekarang,” katanya.
Sementara itu,
katanya, projek lain seperti transit aliran ringan Metro Makkah dan
sistem pengangkutan awam yang lain termasuk bas dijadualkan siap secara
berperingkat menjelang 2020.
Katanya, projek kereta api laju al-Haramain yang dijadualkan siap
pada 2017 akan memendekkan masa perjalanan dari Madinah dan Jeddah
menuju ke Makkah.
“Dari Madinah ke Makkah cuma mengambil masa dua jam manakala dari
Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah ke Makkah pula
hanya 30 minit,” katanya. – BERNAMA