Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangani plak perasmian Restoran Felda D'Saji cawangan Jeddah di Tahlia Street pada Ahad, cawangan kedua selepas Makkah. - Foto BERNAMA |
JEDDAH – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan
Restoran Felda D’Saji cawangan Jeddah di Tahlia Street pada Ahad,
cawangan kedua selepas Makkah.
Sebaik memasuki restoran itu, Najib menandatangani plak sebagai tanda
pelancaran dengan disaksikan Pengarah Eksekutif Kanan Felda D’Saji Sdn
Bhd, Ahmad Zaki Abdullah.
Pada Disember 2013, Najib melancarkan restoran Felda D’saji yang
memulakan operasi di Menara al-Safwa bersebelahan Masjidil Haram.
Turut sama menyaksikan majlis pelancaran itu Menteri Luar Datuk Seri
Anifah Aman, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharu dan Duta Besar
Malaysia di Arab Saudi Zainol Rahim Zainuddin.
Perdana Menteri kemudian bersama tetamu yang lain menikmati hidangan
di restoran itu yang terletak di hab komersial paling eksklusif di Arab
Saudi iaitu Tahlia Street. Tahlia Street menjadi pilihan jenama-jenama
terkemuka dunia dengan barisan kedai-kedai bertaraf butik dan berkelas
tinggi.
Sementara itu, bercakap kepada wartawan Malaysia selepas pelancaran,
Ahmad Zaki berkata berbeza dengan restoran D’Saji di Makkah bertempat di
sebuah medan selera, cawangan Jeddah menggunakan bangunan yang disewa.
Restoran dengan 112 tempat duduk itu dijangka dapat menarik pelanggan
bukan sahaja dari Malaysia dan Asia malah ingin memanfaatkan kedudukan
Jeddah yang menjadi pintu masuk ke Arab Saudi.
Ahmad Zaki berkata restoran D’Saji cawangan Jeddah menyasarkan perolehan RM2.5 juta setahun menerusi konsep ‘fine dining.’
Sejak dibuka 1 Mei lalu, beliau berkata sambutannya amat menggalakkan
dan ia telah dapat menarik purata 4,000 hingga 5,000 pelanggan tempatan
dan asing di sini.
Katanya 70 peratus pelanggan adalah orang tempatan dan bakinya orang luar termasuk dari Malaysia.
Katanya FELDA memperuntukkan RM1.5 juta sebagai modal untuk operasi restoran D’Saji di Jeddah.
Ahmad Zaki berkata restoran itu menghidangkan makanan ala Malaysia
dan paling mendapat sambutan ialah nasi lemak, mi mamak, roti canai dan
teh tarik.
Katanya sambutan dijangka terus positif pada bulan Ramadan. – BERNAMA