Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Seri Annuar Musa |
ALOR SETAR - Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Seri Annuar Musa menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak terpaksa terpaksa menanggung saki baki permasalahan yang ditinggalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Annuar menegaskan bahawa setiap kali Dr Mahathir berdepan krisis politik maka bangsa Melayu juga akan berpecah dan ia pernah dibuktikan sewaktu tempoh peralihan kuasa Timbalan Perdana Menteri ketika itu.
"Siapa yang dapat menafikan apabila Dr Mahathir berkrisis dengan Musa Hitam, sebahagian daripada kekuatan Umno hilang.
"Kemudian bila Dr Mahathir berlawan dengan Tengku Razaleigh Hamzah, dalam kawasan saya yang mengikut Tengku ke Semangat 46 sampai sekarang tak kembali kepada Umno.
"Sebahagian kekuatan Umno hilang apabila Dr Mahathir berkrisis dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Siapa yang dapat nafikan sebahagian kekuatan Umno hilang? Setiap ada pergeseran, kekuatan parti makin hilang, makin hilang, makin hilang.
“Saya yakin kalau pergeseran ini diteruskan antara Dr Mahathir dengan Najib, kekuatan tidak bertambah tetapi kekuatan terus hilang,” katanya yang dipetik dari sebuah portal, semalam.
Sebelum ini, Dr Mahathir pernah menghantar surat desakan meletak jawatan yang mengandungi pelbagai tuduhan dan kata-kata kurang sopan kepada Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra ketika arwah menjawat jawatan Perdana Menteri sehingga menyebabkan beliau dipecat dari UMNO.
Selain itu, beliau turut berjaya mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, juga melalui 'serangan' surat, blog dan kenyataan, termasuk bertindak keluar dari parti.
Hanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Allahyarham Tun Hussein Onn sahaja yang 'terselamat' dari didesak Dr Mahathir supaya meletak jawatan, ekoran beliau adalah antara barisan kabinet menteri di zaman pentadbiran dua bekas Perdana Menteri itu.
Sementara itu, Dr Mahathir turut pernah menghadapi krisis dengan beberapa Timbalannya, Tun Musa Hitam dan Tengku Razaliegh Hamzah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyaksikan pepecahan bangsa Melayu berlaku, khususnya di dalam UMNO.
Annuar turut mempertahan tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menghalang Najib untuk hadir ke sesi dialog #NothingtoHide bersama NGO kerana ia dilakukan semata-mata untuk mempertahankan maruah dua tokoh negara, Dr Mahathir dan Perdana Menteri.
Katanya, Najib sebetulnya tidak takut untuk berdepan Dr Mahathir, namun apa yang dibimbangkan ialah keadaan hadirin yang tidak dapat mengawal emosi mereka di sesi dialog berkenaan.
“Sebab Najib ada telorlah dia tak pergi. Bayangkan jika Najib pergi pada masa itu. Dalam dewan penuh 1,200 orang, wartawan ada 200 orang. Di luar beribu lagi langgar pintu suruh buka nak masuk lagi. Tiada tiket pun nak masuk.
“Adakah kita bayangkan seorang perdana menteri datang dalam keadaan kacau bilau masuk dewan kemudian berlawan dua orang? Itu ke kelas perdana menteri?
“Adakah 1,200 orang itu menyokong Dr Mahathir dan tiada seorang pun menyokong Najib? Apakah tidak mungkin ada orang yang akan menghina Dr Mahathir yang kita sayangi? Mungkin dia kena ‘boo’, dia kena baling macam-macam,” katanya yang dipetik dari Malaysian Insider.
Sementara itu, Dr Mahathir dalam kenyataannya semalam mengatakan bahawa tidak wujud sebarang ancaman dari kalangan hadirin di sesi dialog itu.
"Saya tengok satu video klip tentang apa yang terjadi. Tiada ancaman keselamatan kecuali Ali Tinju yang agak bising," kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir sebelum ini pernah terkena sejenis semburan yang memedihkan mata ketika disambut ribuan penyokongnya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan ketika berkrisis dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kejadian yang pada mulaya disifatkan 'tiada sebarang ancaman' itu dianggap salah satu kegagalan memastikan keselamatan negarawan itu mencetus kontroversi hingga ke tahap di bawa ke mahkamah. -Kedahnews.com