Naza Italia Lancar Ferrari 488 GTB, RM1.07 Juta Sahaja Tidak Termasuk Duti!

Ferrari 488 GTB
PETALING JAYA – Beberapa bulan selepas pelancarannya di peringkat antarabangsa di Geneva, model terbaharu Ferrari 488 GTB kini berada di Malaysia.

Malah, Malaysia menjadi negara pertama di rantau ASEAN menerima model itu yang dibawa masuk Naza Italia Sdn Bhd selaku pengimport rasmi Ferrari di Malaysia.

Naib Presiden Kanan II Unit Roda 4 Naza World, David Hector Ratnaike berkata, kumpulan itu menyasarkan penjualan 40 unit Ferrari, tahun ini.

“Kami berharap Ferrari 488 GTB akan mewakili 30 peratus daripada jumlah yang diterima pihak Naza Italia.

“Malah, kami yakin Ferrari 488 GTB akan mendapat sambutan hebat peminat Ferrari di Malaysia. Cuma, kami perlu bekerja keras untuk mendapatkan peruntukan lebih besar daripada pihak Ferrari,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran kereta itu di bilik pameran Naza Italia, di sini, semalam.


Hadir sama Pengerusi Eksekutif Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Naza World Group of Companies Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin; Pengarah Urusan Ferrari Far East Dieter Knechtel dan Naib Presiden 1 Naza Italia, Wan Ahmad Wan Abas.

Ratnaike turut menyuarakan rasa optimisnya terhadap jualan Ferrari 488 GTB di Malaysia sepertimana kejayaan model terdahulu iaitu Ferrari 360, 430 dan 458.

“Pihak kami berbanggan kerana menjadi yang pertama menerima model ini di rantau ASEAN. Ia satu pengiktirafan terhadap komitmen kami di Malaysia,” katanya.
Ferrari 488 GTB
Sementara itu, SM Faisal berkata Ferrari 488 GTB dilengkapi 661 kuasa kuda (bhp) iaitu output kuasa tertinggi bagi kereta Ferrari, namun jimat tenaga.

Beliau turut menjangkakan model itu menjadi kereta terbaharu diminati rakyat Malaysia.

Harga asas bagi sebuah Ferrari 488 GTB baharu itu yang tidak termasuk duti adalah RM1.07 juta. – BERNAMA