Nazir Razak, Saifuddin Abdullah Nafi Akan Tubuh Parti Baru

ALOR SETAR - Adik bongsu Perdana Menteri, Datuk Seri Nazir Razak mendakwa tuduhan yang mengatakan beliau berhasrat untuk menubuhkan sebuah parti politik baru seperti yang dilaporkan sebuah portal hari ini adalah tidak benar sebenarnya.

Penafian tersebut turut menamatkan spekulasi yang dipercayai cuba dicetus pihak tertentu sebelum ini.

“Ia tidak benar,” ringkas katanya memetik Malaysian Insider.

Nazir menjelaskan bahawa belaiu sebenarnya pernah berbincang dengan beberapa orang mengenai penubuhan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), tetapi ia hanyalah sekadar lontaran dan perkongsian idea sahaja.

Sementara itu, Ketua Gerakan Kesederhaan Global, Datuk Saifuddin Abdullah yang turut dikaitkan dengan tuduhan pihak tersebut juga senada dengan adik Perdana Menteri itu dan menjelaskan kedudukan sebenar tentang isu berkenaan.


“Saya mahu mengesahkan bahawa ada perbincangan antara Nazir dan rakan termasuk saya berhubung sosio politik semasa dan situasi ekonomi.

“Kami sedang berfikir untuk membentuk sebuah badan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform kepada suara kesederhanaan,” kata Saifuddin pula.

Menurut laporan portal terbabit, Nazir sudah pun mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin perniagaan di Britain dan Kuala Lumpur untuk membincangkan penubuhan parti politik tidak berpihak selain sudah menemui Ketua Gerakan Kesederhaan Global, Datuk Saifuddin Abdullah untuk menjadi penaung parti tersebut.

Menerusi laporan The Star menyebut, walaupun dikatakan Saifuddin bakal meneraju parti itu namun disebabkan kekurangan mendapat sokongan, berkemungkinan besar Nazir akan dilantik untuk jawatan itu.

Usaha untuk mendapatkan jawapan balas daripada Nazir dan Saifuddin menemui jalan buntu apabila mereka tidak dapat dihubungi oleh pihak media. -Kedahnews.com