KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memansuhkan visa
bagi pelancong dari China dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dari
negara itu datang ke Malaysia.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz
berkata pihaknya telah mengemukakan cadangan tersebut kepada Jemaah
Kabinet pada 15 Mei lepas.
“Saya berharap cadangan ini dapat diputuskan dalam masa terdekat,”
katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek komersil dan gaya
hidup bersepadu, ‘Theme Park, Wholesale City and Outlet Mall (TWO)
bernilai RM5 bilion oleh DA Land Sdn. Bhd., di sini hari ini.
Beliau berkata cadangan itu bertujuan mengubah semula kedudukan daya
saing Malaysia dalam industri pelancongan susulan tindakan Thailand dan
Indonesia memansuhkan visa untuk pelancong dari China.
Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, katanya, Malaysia hanya
menerima kedatangan 350,000 pelancong China berbanding dua juta oleh
Thailand.
Pada Januari lepas, kerajaan meluluskan pengecualian bayaran RM46
bagi permohonan visa untuk pelancong China berkuatkuasa 15 Feb hingga
akhir tahun ini.
Tahun lepas, Malaysia mencatatkan kedatangan 1.4 juta pelancong dari China berbanding dua juta pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, projek TWO di tapak seluas 20.63 hektar di Rawang,
Selangor, itu mempunyai sebuah pusat konvensyen, dewan serbaguna, pusat
beli-belah premium, hotel dan taman tema tertutup terbesar di rantau
ini.
Ketua Pegawai Eksekutif DA Land, Derek Chew berkata fasa pertama
projek telah bermula bulan lepas dan dijangka siap dalam tempoh empat
tahun manakala projek keseluruhan itu dijangka dapat disiapkan dalam
tempoh antara lapan dan 10 tahun. – BERNAMA