NGO Tempelak Kit Siang, Dakwa Skandal Kewangan Mula Di Zaman Tun M

Penasihat DAP, Lim Kit Siang
ALOR SETAR - Sebuah NGO menempelak ulasan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengenai ganjaran RM1 juta untuk maklumat mengenai dakwaan "kekayaan tersebunyi" bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah kononnya merupakan "ugutan politik".

NGO tersebut, Warga Untuk Tata Kelola Pemerintahan Bertanggungjawab (CAGM) mengecam tuduhan Kit Siang itu yang mendakwa ganjaran tersebut digunakan untuk menutup mulut Dr Mahathir dari menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Seperti yang disebut dalam kenyataan kami sebelum ini, skandal kewangan besar-besaran di negara kita mula di bawah pemerintahan Dr Mahathir," dakwa Pengerusi CAGM, Zainal Abidin semalam.

Zainal turut menegaskan bahawa pihaknya turut memberi jaminan akan "mengejar" Najib berkenaan isu 1MDB sekirnya terbukti wujud penyelewengan selepas laporan siasatan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) diketahui nanti.

"Jadi secara lebih adil kita perlu mencari penyebab pertamanya. Kami tidak pernah mengatakan tidak akan mengejar Perdana Menteri susulan isu 1MDB," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Justeru itu, CAGM akan menunggu hasil laporan PAC yang menjalankan sisatan mereka.

Zainal berkata, sekiranya Penasihat DAP itu melakukan tugasnya menggesa Parlimen membentangkan "Black Money" atau rang undang-undang cukai, pendapatan dan aset asing yang tidak didedahkan, NGO seperti CAGM tidak lagi perlu melakukan tugas tersebut.

Kit Siang sebelum ini dilaporkan telah mempersoal ganjaran CAGM berjumlah RM1 juta dan percaya bahawa ganjaran digunakan untuk "menutup" skandal kewangan yang didakwa kononnya di bawah tanggungjawab Perdana Menteri.

Bapa Lim Guan Eng itu juga mendakwa bahawa CAGM yang baru sahaja ditubuhkan sebulan lalu ketika Dr Mahathir mula mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan, “tiada kredibiliti” kerana ia ditubuhkan untuk mengalihkan tumpuan. -Kedahnews.com