Nik Abduh Kerah Pemuda PAS Bantu Mangsa Gempa Di Sabah


KOTA BAHARU – Dewan Pemuda PAS akan mengerahkan anggotanya untuk membantu mangsa gempa bumi di Sabah, kata ketuanya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Dalam catatan di laman Facebook, beliau berkata Pemuda PAS akan menyalurkan apa jua bentuk bantuan yang diperlukan bagi mengurangkan beban yang ditanggung mangsa.

Beliau turut melahirkan rasa simpati kepada penduduk Ranau dan beberapa kawasan lain yang terjejas akibat gempa bumi dan menasihatkan penduduk agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan masing-masing.

Dalam kejadian pada 7.15 pagi semalam, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda kawasan Ranau di Sabah, menjadikannya gempa terkuat yang pernah dialami Malaysia setakat ini.

Gempa bumi sederhana itu disusuli gegaran kecil sehingga malam tadi dan ia turut dirasai di empat kawasan lain iaitu Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud. – BERNAMA