Nik Abduh Luah Rasa Hairan Pada Mereka Yang Konon Cintakan Bapanya...


ALOR SETAR - Walaupun hanya membariskan beberapa ayat yang ringkas di laman sosial Facebooknya, jelas sekali kehairanan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz terhadap mereka yang mengaku cintakan arwah bapanya mengujakan ramai pihak.

Nik Abduh meluahkan rasa hairan terhadap mereka yang kononnya sangat cintakan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat namun pada masa yang sama tergamak membenci Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Padahal kata calon Ketua Dewan Pemuda PAS pada Muktamar PAS Kali ke-61 itu, bapanya Nik Abdul Aziz semasa hayat beliau sangat menyintai dan mengkagumi sifat warak serta keperibadian Abdul Hadi.

"Tidakkah anda merasa takjub dengan sebahagian pencinta al marhum Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat..

"Mereka mendakwa mencintainya sungguh-sungguh, tetapi dalam masa yang sama, mereka membenci Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang sungguh-sungguh,

"Walhal al marhum Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa hayatnya begitu mencintai dan mengkagumi kealiman dan keperibadian Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang??," tulis Nik Abduh di laman Facebooknya dan status tersebut telah menerima lebih 4,000 likes.

Malah Nik Abduh sempat berdoa supaya dilindungi dari fitnah golongan tersebut yang disifatkan sebagai "seburuk-buruk dan sepalsu-palsu cinta".

"Tuhanku, aku berlindung dengan-MU daripada fitnah mencintai auliya'-MU dengan membenci auliya'-MU yang lain. Itulah seburuk-buruk dan sepalsu-palsu cinta..," tulisnya di status yang sama.


Biarpun ada individu yang cuba tampil "menegakkan benang yang basah" terhadap status itu dengan mempersoal kononnya wujud kekeliruan dari sudut politik, namun tindakan tersebut menerima tentangan dari majoriti yang meninggalkan komen di status tersebut.

Sementara itu, penyandang jawatan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat di laman Facebooknya memuat turun status yang mendakwa telefon bimbitnya telah menjadi mangsa "hack" dan memberi amaran tentang sistem pesanan ringkas palsu.

"Askm. Handset saya kena hack. Jika dapat SMS yg mencurigakan dari Nombor saya sila abaikan. Ada pihak yang mahu memalukan saya. Harap Maklum," tulis Suhaizan yang hanya menerima 260 likes ketika laporan ini ditulis.


Wujud perbezaan ketara tentang jumlah "like" yang diterima laman fanpage Facebook kedua calon Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu di mana Nik Abduh hingga kini telah menerima sebanyak 103,000 likes berbanding Suhaizan yang jauh ketinggalan dengan hanya 39,000 likes sahaja.


Sekiranya jumlah "like" tersebut menjadi ukuran memilih jawatan nombor satu Dewan Pemuda PAS tersebut, maka Nik Abduh jauh mendahului Suhaizan, sekaligus menafikan undian secara online yang dibuat oleh Malaysiakini, baru-baru ini.  - Kedahnews.com