Nora Danish Pertahan Kafe Kopi & Xoxo: Tidak Terlalu Mahal, Harga Berpatutan

ALOR SETAR - Baru-baru ini kecoh diperkata tentang kadar bayaran terlalu tinggi di kafe Kopi & Xoxo, milik pelakon wanita jelita, Nora Danish bersama empat rakannya yang terletak di Bangsar hingga mendapat rungutan ramai.

Ekoran itu, Nora tampil  menjelaskan polisi perniagaan berkonsepkan kopitiam itu bahawa kadar bayaran dikenakan kepada pelanggan di kafe tersebut adalah berpatutan dan kena dengan kadar sewa premis yang perlu dibayar.

Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 33, berkata, harga dicaj kepada pelanggan tidak begitu mahal dan bersesuaian dengan kualiti barangan yang ditawarkan kepada para pelanggan di situ.

"Sebenarnya harga makanan dan minuman di kafe Kopi & Xoxo itu tidak begitu mahal dan orang ramai juga harus faham kerana ia terletak di Bangsar jadi kami harus menanggung kadar sewa yang agak tinggi.

"Barang-barang digunakan juga berkualiti jadi harga yang dikenakan bersesuaian dengan lokasinya," katanya yang dipetik dari sebuah portal, hari ini.

Nora berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kadar bayaran dikenakan di Kopi & Xoxo kepada pelanggan yang dikatakan mahal oleh sesetengah peminatnya.

Sesetengah peminat Nora sebelum ini merungut tentang caj bayaran yang dikenakan terhadap mereka oleh Kafe Kopi & Xoxo yang terletak di kawasan "elite" itu.

Kata Nora lagi, keuntungan diperolehinya bersama rakan-rakan kongsi sebenarnya tidaklah lumayan seperti mana dibayangkan segelintir peminat kerana perniagaan tersebut masih baru dijalankan sekadar suka-suka dan tidak terlalu berorientasikan keuntungan semata-mata.

"Kami bukan nak kejar untung semata-mata kerana perniagaan ini dibuat sekadar suka-suka jadi keuntungan yang diambil sebenarnya tidak banyak.

"Jadi harga yang dikenakan amat berpatutan dan ia amat sesuai kepada pelanggan," jelas pelakon yang dikaitkan bercinta dengan Nedim, anak seorang menteri kabinet.

Jelas Nora lagi, dia dan rakan-rakannya baru berjinak-jinak dengan perniagaan berkonsepkan kopitiam kerana percaya ia mudah untuk diuruskan dan dalam masa yang sama ia amat bersesuaian dengan gaya hidup masyarakat Malaysia masa kini.

"Keputusan untuk memilih konsep kopitiam dilakukan selepas melakukan perbincangan dan konsep tersebut adalah paling ideal kerana ia mudah diuruskan," ujarnya.

Turut difahamkan bahawa Nora dan rakanya melabur hampir RM100,000 untuk membuka kafe berkenaan di mana kos tersebut adalah merangkumi aspek dekorasi, perabot, konsep dan pilihan menu. -Kedahnews.com