OIC Kecam Serangan Pengganas Ke Atas Masjid Di Kuwait

Masjid Imam Al-Sadiq
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk keras serangan oleh pengganas yang menyasarkan Masjid Imam Al-Sadiq di ibu negara Kuwait, semalam.

Setiausaha Agung OIC, Iyad Madani Ameen dalam satu kenyataan berkata, letupan di masjid itu bukan sahaja menyebabkan kematian dan mencederakan ramai jemaah yang tidak berdosa tetapi juga mengancam keselamatan dan kestabilan Kuwait dan masyarakatnya.

Beliau berkata kumpulan pengganas yang melakukan perbuatan jahat itu hanyalah sekumpulan penjenayah yang langsung tidak menghargai kehidupan manusia, dan tidak mempunyai apa-apa nilai, moral dan pegangan agama serta bertujuan untuk memburuk-burukkan Islam dan umat Islam.

Laporan antarabangsa menyatakan bahawa letupan tersebut yang merobek masjid selepas solat Jumaat mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang dan mencederakan ramai lagi.

Madani melahirkan solidariti OIC bersama kepimpinan, kerajaan dan rakyat Kuwait.

Beliau juga merakamkan ucapan takziah kepada Emir Kuwait, kerajaan Kuwait dan keluarga mangsa dan berharap semoga mereka yang cedera segera sembuh.

Madani mengulangi pendirian tegas OIC yang mengutuk keganasan dalam semua bentuk dan manifestasi, sambil menekankan tentang perlunya usaha bersepadu semua negara anggota untuk menangani masalah ini berdasarkan resolusi yang dikeluarkan oleh OIC berhubung perkara ini. – BERNAMA