Tujuh mayat dari kubur yang ditemui di kem tahanan sindiket pemerdangan manusia dibawa keluar menggunakan trak dari Lubuk Sireh di sini. - Foto BERNAMA |
WANG KELIAN – Operasi menggali dan mengeluarkan rangka mayat mangsa
sindiket pemerdagangan manusia yang bermula 25 Mei lepas di sini
ditamatkan pada Isnin.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata tujuh lagi rangka mayat berkafan
ditemui di tujuh liang kubur di Bukit Genting Perah pada pukul 2.10
petang dan telah dibawa turun pada pukul 5.55 petang tadi melalui
kawasan Felcra Lubuk Sireh.
Penemuan terakhir itu menjadikan jumlah keseluruhan rangka mayat yang dikeluarkan sehingga hari ini adalah sebanyak 106.
“Dengan penemuan terakhir ini, maka operasi menggali dan mengeluarkan
rangka mayat oleh PDRM yang terdiri daripada pasukan forensik, jabatan
siasatan jenayah dan pasukan gerakan am ditamatkan hari ini,” katanya di
dalam satu kenyataan.
Pada Ahad, sebanyak 30 rangka mayat lagi ditemui di dalam 31 liang
kubur dan dikeluarkan dari kawasan perkuburan di Bukit Genting Perah
melalui kawasan Felcra Lubuk Sireh.
Pada 5 Jun, 14 rangka mayat berkafan ditemui dalam 12 kubur yang
digali dihutan simpan Mata Air dan pada Ahad 20 rangka mayat berkafan
ditemui di dalam 20 liang kubur di tempat sama.
Sebelum itu 35 mayat dan rangka manusia dikeluarkan dari Bukit Wang Burma. – BERNAMA