KUCHING – Sarawak menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Najib Tun
Razak kerana melihat jelas keikhlasan perdana menteri dalam usaha
membantu membawa pembangunan di Sarawak.
“Kita (kami) di Sarawak tahu erti terima kasih kepada orang yang
menolong, kita sokong dia kerana itulah yang betul. Kita kenal siapa
yang benar dan siapa yang ‘eksyen’ saja,” kata Ketua Menteri Tan Sri
Adenan Satem.
Beliau berkata Najib pemimpin ikhlas, tidak pandai berlakon, sentiasa
berusaha membawa kebaikan, pemimpin yang dianggapnya “melihat kesilapan
dan cuba membetulkannya, yang melihat penderitaan dan cuba
memulihkannya.
“Beliau diserang kiri dan kanan oleh mereka yang tidak mengenang budi
di Semenanjung, termasuk dalam UMNO sendiri yang tidak tahu berterima
kasih, hanya tahu tikam belakang.
"Kita di Sarawak ikhlas. Jika kami
sokong anda, kami akan katakan demikian,” katanya semasa berucap pada
Majlis Pemimpin Bersama Rakyat #sarawakfornajib di Stadium Perpaduan di
sini, semalam.
Menurutnya sumbangan Najib kepada Sarawak amat besar.
Adenan berkata beliau tahu Najib sentiasa lembut hati dengan Sarawak
dan warga Sarawak pula memang sentiasa menyokong kepimpinan Najib dalam
keadaan susah atau pun senang.
Adenan turut menyatakan bahawa beliau sedang berunding dengan Najib
untuk melihat sekiranya ada kuasa tertentu daripada kerajaan pusat yang
boleh diturunkan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan di peringkat
negeri.
“Ada perkara-perkara yang kita (kami) buat lebih bagus lagi, kita
runding mana bidang kuasa yang boleh kita gunakan oleh Sarawak, supaya
autonomi kita lebih bererti,” katanya. – BERNAMA