Orang Tualang Sokong Kebumi Jenazah Pelarian Di Kampung Mereka

Kerja-kerja melebarkan jalan turut dilakukan berhampiran tanah perkuburan bagi memudahkan urusan pengebumian jenazah.
POKOK SENA - Penduduk Kampung Tualang dekat sini, menyokong cadangan Majlis Agama Islam Kedah (Maik) untuk mengebumikan jenazah pelarian Rohingya di tanah perkuburan Islam di kampung berkenaan.

Malah penduduk juga mendakwa tindakan itu sangat baik kerana selama ini tanah perkuburan berkenaan terbiar selain menjadi port individu melepaskan gian.

Penduduk, Fawzi Ayob, 51, berkata, tanah perkuburan itu terbiar selepas penduduk kampung yang meninggal dunia dikebumikan di tanah perkuburan Islam berdekatan Masjid Tualang.

"Daripada dibiarkan tanah ini dipenuhi belukar, lebih baik ia digunakan untuk mengebumikan pelarian Rohingya.

"Malah tindakan itu juga dapat mengelakkan kawasan berkenaan terus menjadi tempat individu melepaskan gian dan melepak," katanya.

Menurutnya, difahamkan kali terakhir jenazah dikebumikan di kawasan itu ialah kira-kira 40 tahun lalu.

"Di kawasan ini terdapat hampir 100 kubur yang masih kekal," katanya.

Namun katanya, diharap selepas ini tanah perkuburan ini akan dijaga sebaik mungkin bagi menggelakkannya terus terbiar selain mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Tinjauan Sinar Harian semalam, mendapati kerja-kerja membersihkan dan meluaskan jalan di kawasan tanah perkuburan itu sedang giat dijalankan.

Bagaimanapun kerja-kerja membersihkan terpaksa dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan terkena batu nisan di situ.

Malah difahamkan pengebumian pelarian Rohingya akan dilakukan pada minggu pertama Ramadan ini.

Sumber: Sinar Harian