Othman Aziz Sambut Baik Cadangan Wujud Semula Lembaga Padi Dan Beras

Datuk Othman Aziz
ALOR SETAR - Cadangan kerajaan pusat untuk mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) disambut baik oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Pengerusi Mada, Datuk Othman Aziz berkata, mereka mengalu-alukan cadangan itu bagi membantu meningkatkan hasil industri padi dan beras negara dengan lebih berkesan dan hasrat untuk membantu petani juga tercapai.

Menurutnya, LPN pernah diwujudkan suatu ketika dahulu namun, kemudiannya dikorporatkan dan diswastakan menjadi Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

“Kita tidak ada masalah apabila Bernas wujud namun, peranan yang dimainkan LPN sebelum ini tiada.

“Dalam industri ini perlu ada sistem kawal selia dari peringkat awal lagi seperti penyediaan tanah, traktor yang digunakan perlu dipantau dari segi berat, jenis tayar traktor dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Program Perhimpunan Kumpulan Peladang Muda (KPM) Mada, di pejabat Mada, di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan mencadangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk menubuhkan sebuah lembaga khusus bagi menyelia padi dan beras negara.

“Apabila tiada kawalan (berat dan tayar) traktor yang masuk dalam bendang, itu akan merosakkan balik tanah. Disebabkan itu tanah menjadi jerlus.

“Dalam kawasan Mada sahaja terdapat 8,000 hektar tanah jerlus dan 1,500 hektar berjaya dipulihkan. Bagaimanapun kos untuk membaik pulih keseluruhan tanah berkenaan menelan kos tinggi kira-kira RM60 juta,” katanya.

Othman berkata, proses baik pulih tanah jerlus juga turut melibatkan kerja-kerja mewujudkan pengaliran saliran baru selain menimbun tanah.

“Apabila lembaga itu diwujudkan kelak, setiap traktor yang ingin digunakan sama ada dalam kawasan Mada atau sawah padi seluruh negara perlu berdaftar dengan lembaga bagi tujuan kawal selia.

“Selain itu lembaga juga akan dapat memastikan semua benih padi yang digunakan adalah sah serta memantau pemberian kuota pembekal benih padi,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP) juga dapat diselaraskan dengan lebih sistematik.

"Walaupun kerap kali kita berkempen supaya mengamalkan GAP dalam kalangan petani namun, sekarang ini timbul pelbagai persoalan antaranya pemberian baja dan racun mengikut spesifikasi atau tidak.

“Begitu juga soal penghantaran padi menggunakan lori perlu mengikut spesifikasi seperti menutup hasil padi yang dihantar supaya tidak berterbangan di atas jalan dan hasil menjadi berkurangan sekali gus merugikan petani,” katanya.

Sumber: Sinar Harian