"Pakatan Rakyat Tidak 'Habis', DAP Lah 'Habis'..." - Nik Abduh

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Pakatan Rakyat (PR) masih wujud dengan adanya kerjasama antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meskipun DAP mengisytiharkan gabungan tersebut tidak lagi wujud, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata PR ditubuhkan atas dasar kerjasama dan kesepakatan tiga parti berkenaan dan apa jua keputusan perlu dicapai secara bersama dan bukannya secara bersendirian.

“PR tidak ‘habis’ walaupun hilang satu. DAP lah habis…kita ada lagi PR, ada dua parti ke atas, maka gabungan itu wujud, ia bergantung kepada hubungan PAS dan PKR.

“Kita kekal dengan PR. Keputusan DAP bukan bubar PR…itu bermakna dia buat keputusan dia. Kita tidak keluar PR..Kalau dia tolak kita, kita ada PKR,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Nik Abduh yang juga Anggota Parlimen Pasir Mas mengulas berhubung keputusan DAP hari ini mengisytiharkan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti itu, PKR dan PAS tidak lagi wujud.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata keputusan yang dibuat susulan Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah ‘membunuh’ pakatan itu.

Jawatankuasa eksekutif pusat DAP dalam mesyuaratnya semalam mencapai kata sepakat berhubung Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

Nik Abduh juga berkata masa depan PR kini umpama di tangan PKR untuk diputuskan dan diselamatkan supaya krisis itu tidak terus berlanjutan.

Sementara itu, Naib Presiden PKR yang juga Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata pihaknya akan membincangkan perkembangan terbaru itu dalam mesyuarat Biro Politik mingguan yang akan diadakan di ibu pejabat mereka di sini malam ini.

“Saya mengambil maklum kenyataan DAP mengenai kedudukan DAP dan Pakatan Rakyat seperti yang ditandatangani oleh YAB Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP sebentar tadi.

“Pimpinan Keadilan di semua peringkat tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sehinggalah pendirian parti mengenai perkara ini dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan. – BERNAMA