Pelakon dan penerbit, Sharifah Shahora |
Ada rumah tangga yang berakhir kerana kehadiran orang ketiga dan ada yang bangkit daripada kesilapan pasangan masing-masing.
Begitulah juga yang berlaku kepada pelakon dan penerbit, Sharifah Shahora yang mengejutkan ramai apabila mendedahkan kecurangan suaminya, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin dengan seorang wanita yang dikenali dengan nama Yanie.
Menggunakan medium laman sosial, Twitter untuk meluahkan perasaan, Shahora berkata, dia menjadi seberani itu kerana sudah tertekan dan kecewa dengan apa yang berlaku ke atas dirinya disebabkan 'adegan drama' selama tiga bulan antara wanita tersebut dan suaminya.
“Setiap manusia ada tahap kesabarannya dan apabila perkara ini seperti tidak dapat lagi dihentikan, maka dengan cara inilah (uar-uarkan kepada umum) jalan terbaik untuk menghentikannya.
“Memang perkara ini memalukan diri saya, tetapi saya terpaksa kerana saya sendirian. Saya tiada niat mahu mengaibkan suami, namun ini sahaja cara saya boleh gunakan, tambahan saya lakukan secara sendiri, saya seorang,” katanya ketika ditemui pada pelancaran program Ramadan TV3 dan TV9, baru-baru ini.
Bukan sahaja menjejaskan emosinya, akui Shahora, hubungannya dengan suami juga sudah terjejas sejak wanita tersebut hadir dalam hidup mereka.
“Saya dengan suami memang sekarang agak panas, sangat panas dan saya tidak boleh terima benda ini kerana anggap telah ditipu selama ini.
“Nasib baik saya merasa ada sesuatu tidak kena pada reaksi suami pada mula-mula kejadian ini berlaku, jika tidak masih beranggapan suami masih sayangkan saya.
“Sejak saya mengetahui perkara ini tiga bulan lalu, saya sering menasihati suami agar jangan ulanginya lagi, namun ia tetap berpanjangan,” jelasnya.
Dalam tempoh tiga bulan tersebut, Shahora juga ada menyarankan agar suaminya berkahwin dengan wanita tersebut sekiranya memang wujud cinta antara mereka dan mungkin sudah tidak mencintai dirinya.
“Tetapi suami saya tak mahu kahwin, saya pun tak tahu kenapa. Kini memang kami masih tinggal sebumbung tetapi tidak bercakap kerana masing-masing mahu mengelak.
“Saya pernah fikir mahu keluar rumah, tetapi nanti dikatakan nusyuz. Kami hanya bermesej andai mahu berkata tentang sesuatu perkara.
“Tetapi selepas membuat pendedahan ini, suami ada meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi, namun susah bagi saya menerimanya kerana merasakan dia akan mengulanginya lagi,” ujarnya.
Suami berubah
Ditanya bagaimana dia dapat menghidu kecurangan suami, Shahora berkata, aktiviti dan gerak geri suami yang berlainan dari kebiasaan mula menimbulkan curiga padanya.
"Memang menjadi kebiasaan saya dan suami bermain telefon di rumah. Tetapi apabila dia lebih kerap bersama telefon bimbit, saya jadi pelik.
"Malah saya pernah terlihat dia leka berbalas mesej dengan seseorang ketika saya terjaga dari telefon.
"Lebih menyakitkan hati apabila saya terbaca wanita itu bertanya di mana pengurus? Dan suami membalas saya sudah tidur. Pengurus dia panggil saya!" ujarnya kesal.
Meskipun cuba untuk menyelamatkan rumah tangga yang dibina sejak 2008, akui Shahora, hatinya kini masih terluka dengan apa yang berlaku.
"Saya rasa nak gila bila dedahkan semua ini. Apatah lagi saya bukan jenis yang berkongsi hal rumah tangga di laman sosial.
"Malah sehingga kini saya belum bersedia memaafkan dia (suami). Saya tak tahu nak berpisah atau bagaimana, jadi tunggu,” katanya.
Orang ketiga mohon maaf
Tambah Shahora, wanita yang dipercayai berasal dari Singapura ini, sudah pun memohon maaf secara terbuka menerusi laman sosial, Twitter, apabila diminta berbuat demikian.
“Alhamdulillah, budak itu telah memohon maaf dalam Twitter saya dan memohon memadam semua logo keluarganya di media sosial yang telah dimuat naik oleh saya.
“Nampak dia benar-benar memohon maaf dan mengatakan dirinya bodoh kerana melakukan perkara itu.
“Walaupun kini saya dan dia sudah selesai tetapi saya belum sedia memaafkannya lagi, kerana mungkin ia hanya perancangan untuk menipu saya lagi,” akhirinya.
Sumber: Sinar Harian