Murugan dan Kamathi memangku anak mereka Thilagavadi yang memerlukan rawatan |
ALOR SETAR - Seorang tukang gunting rambut di Batu 1, Jalan Langgar, di
sini, buntu memikirkan kos pembedahan anak gadisnya, M Thilagavadi, 14,
yang menghidap Sindrom Down.
S Murugan, 44, berkata, anak bongsu dari tiga beradik itu menderita sindrom down sejak kecil dan sering sawan.
“Boleh dikatakan, dia sawan hampir setiap hari. Walaupun memahami
percakapan kita, namun dia tidak mampu bercakap seperti remaja
seusianya, sebaliknya hanya menangis.
“Lebih membimbangkan, penglihatannya kini bermasalah. Mata kiri
langsung tidak nampak, sebelah kanan pula sudah samar," katanya.
Berikutan itu, menurutnya, sejumlah wang lebih RM20,000 diperlukan
untuk membiayai kos pembedahan Thilagavadi di Hospital Kuala Lumpur
(HKL) dalam masa terdekat.
"Pendapatan sebagai tukang gunting rambut tidak menentu sekitar RM300
hingga RM800 sebulan. Ada kala saya terpaksa tutup kedai untuk bawa anak
ke hospital.
"Dengan pendapatan tidak seberapa, saya tak mampu membiayai kos
pembedahannya. Lagipun saya perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk
lampin pakai buang dan makanan khas untuk Thilagavadi meskipun ada
menerima bantuan RM300 daripada JabatanKebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Dalam pada itu, kesulitan dihadapi Murugan mendapat perhatian Pertubuhan Bantuan Bertindak Negeri Kedah (PBBNK).
Pengerusi PBBNK, Thana Chew Ne Meng berkata, sumbangan wang tunai
disalurkan untuk membantu sekali gus meringankan beban ditanggung
Murugan dan isterinya, M Kamathi, 42, yang mengidap diabetes.
"Kita alu-alukan keprihatinan orang ramai untuk turut sama membantu
mengurangkan kesulitan dihadapi Murugan sekeluarga," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Murugan menerusi
019-4742201 ataupun menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat Murugan
(22-002-140846-3).
Sumber: Sinar Harian