PasMa Umum Parti Baru Lepas Raya

Phahrolrazi bersama orang-orang kuat PasMa (Gambar Hiasan)
ALOR SETAR - Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) dalam satu kenyataan semalam memberitahu media bahawa NGO itu akan menubuhkan sebuah parti baru selepas Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, usaha tersebut dilakukan pihaknya demi memastikan Pakatan Rakyat terus "hidup".

"Dengan  senario politik yang dibahaskan wakil negeri Pasma tadi, maka Pasma telah mengambil ketetapan bahawa sebuah parti politik baru perlu ditubuhkan.

"...kita mengambil pendirian sebuah pakatan baru perlu ditubuhkan dengan persetujuan lebih mantap membaiki pakatan lepas, kita cadangkan PR baru," katanya pada sidang media di Shah Alam, semalam.

Mengulas lanjut mengenai pengumuman tersebut, Adun (PAS) Pengkalan Kundor itu berkata parti itu akan diumumkan selepas hari raya Aidilfitri ini sejurus selepas sebuah jawatankuasa peneraju mengadakan pertemuan dan mengadakan perbincangan di sepanjang bulan puasa ini.

"Parti itu akan dianggotai oleh golongan yang pro-Pakatan Rakyat, serta NGO-NGO yang proPR," jelasnya.

Selain itu, Pahrolrazi turut menegaskan bahawa PasMa masih kekal sebagai sebuah NGO walaupun parti tersebut ditubuhkan dan NGO itu akan bertugas sebagai platform ke arah penubuhan parti baru berkenaan. -Kedahnews.com