‘PATRIOT 1′ Pecah Rekod Nombor Plat Termahal Di Malaysia, RM1.3 Juta!


Bagi mereka yang merasakan diri mereka berkemampuan dan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, kami ada berita baik buat anda.

Kini anda boleh membida set nombor pendaftaran kenderaan atau nombor plat khas baharu yang ditawarkan yang bertemakan PATRIOT.

Set nombor plat ini dikhabarkan sebagai set nombor pendaftaran termahal di Malaysia setakat ini.

PATRIOT ini akan dibida dengan harga bermula RM1 juta dan lima yang pertama perlu meletak deposit sebanyak 20 peratus.

Bidaan ini telah bermula 1 Jun lalu dan keputusannya hanya akan diketahui pada 30 Jun ini.

patriot 6

Siri nombor plat eksklusif ini ditawarkan Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPN) sebagai sebahagian daripada usaha penjanaan dana untuk menggalakkan kesederhanaan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telahpun bersetuju nombor pendaftaran istimewa ini diberikan khusus kepada yayasan berkenaan.

“Pengarah projek khas YPN, Mass Ayu Mass Akbar, berkata JPJ memberi kebenaran kepada organisasi itu untuk melelong nombor Patriot 1 sehingga Patriot 9999.

“Satu surat kuasa akan diberi kepada pembeli yang perlu membawanya ke JPJ Wangsa Maju untuk pendaftaran dan bagi yang tidak berjaya membida, wang deposit akan dipulangkan,” katanya yang dipetik laporan The Star.

Harga bidaan paling minimum untuk kategori perdana iaitu PATRIOT 1 hingga 10 ditawarkan pada harga RM380,000 hingga RM1 juta.

Setakat ini sambutan amat memberangsangkan dan beberapa individu terkemuka telah bersaing untuk plat satu digit itu.

Buat maklumat anda, bidaan tertinggi setakat ini ialah nombor plat ‘PATRIOT 1′ di mana harga yang dibida adalah berjumlah RM 1,308,000 setakat ini.


Mengikut rekod yang diketahui, ini merupakan sejarah yang baru dalam penjualan nombor termahal melepasi RM 1 Juta di Malaysia.

Sebelum ini, nombor plat termahal ialah “WWW1″, yang berjaya dibida Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail pada harga RM520,000 pada 2012.

Nombor ‘PATRIOT 1′ ini telah mendapat bidaan dari pembida yang tidak ingin dikenali daripada selatan tanah air.

Namun demikian, bidaan nombor ini masih lagi terbuka kerana tarikh tutup bidaan bagi nombor berkenaan adalah sehingga 22 Julai 2015.

Kepada individu atau organisasi yang ingin mendapatkan no. plat khas siri PATRIOT, sila layari laman web rasmi Yayasan Patriot Negara di “www.patriot.org.my ” atau hubungi 019-447 5555 untuk keterangan lanjut. -Kedahnews.com