PDRM Lancar "Ops Tutup" Kesan 6 Suspek Bersenjata


KUALA LUMPUR – Polis pada Rabu melancarkan ‘Ops Tutup’ bagi memburu enam suspek bersenjatakan parang yang dipercayai bersembunyi di Taman Rekreasi Lembah Kiara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields SAC Azlee Abdullah berkata kesemua suspek yang dipercayai warga asing itu bertindak melarikan diri sewaktu anggota polis membuat pemeriksaan ke atas mereka.

“Anggota daripada Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Tun Dr Ismail yang melakukan rondaan kira-kira pukul 4.30 pagi telah terserempak dengan kumpulan ini dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan di kawasan TTDI Hill Park, apabila ditahan untuk pemeriksaan mereka yang bersenjatakan parang melarikan diri ke kawasan hutan berkenaan.

“Kita telah jalankan operasi dan pemeriksaan di kawasan hutan itu yang turut dibantu unit anjing pengesan K9…kita juga lancarkan Ops Tutup serta-merta,” katanya kepada pemberita, semalam.

Katanya gerakan mengesan kesemua suspek giat dijalankan dan taman rekreasi itu ketika ini telah dibuka kepada orang awam.

Azlee berkata polis percaya suspek merupakan geng pecah rumah yang aktif di sekitar TTDI dan Sri Hartamas yang menggunakan modus operandi yang sama iaitu memecah masuk rumah dan melarikan barang berharga.

“Geng ini dikesan melakukan kegiatan mereka di awal pagi dan memecah masuk rumah sama ada berpenghuni mahupun tidak dan menggunakan senjata iaitu parang,” katanya. – BERNAMA