KUANTAN – Seramai lapan pelajar Maahad Tahfiz Pahang (MTNP) termasuk
dua pelajar wanita dihantar ke Amerika Syarikat (AS) dan Australia untuk
menjadi imam solat tarawih dan berdakwah sepanjang bulan Ramadan ini.
Enam pelajar lelaki akan menjadi imam di Sydney, Melbourne dan Perth,
manakala dua pelajar wanita akan berada di Washington, Amerika Syarikat
untuk berdakwah.
Mereka ialah Muhammad Fathullah Abdul Aziz, Norsyabani Al Amin Abdul
Talib, Muhammad Shifaq Mohamed, Muhamad Hazim Shahrun, Muhammad Irfan
Ishak, Muhammad Adam Faliq Abdul Ghani serta pelajar wanita Nurul
Juwairah Mahassan dan Nur Sakinah Amir Hamzah.
Pengarah Maahad Tahfiz Pahang, Datuk Zulkifle Ali Al-Hafiz berkata
penghantaran pelajar berkenaan merupakan sebahagian daripada program
praktikal dan strategi memperkenalkan MTNP di negara ini dan peringkat
global.
“Mereka akan menjadi imam tarawih, memberi tazkirah, mengajar
al-Quran, membaca khutbah dan sebagainya kepada umat Islam di sana.
“Pelajar wanita akan lebih memfokus kepada kelas al-Quran dan
pendidikan fardu ain kepada rakyat Malaysia di Washington,” katanya. –
BERNAMA