Pembahagi Jalan Di Taman Kenari - Sg Ular Bahayakan Pengguna

Thiong Gee menunjukkan pembahagi jalan yang dibina di Jalan Taman Kenari-Sungai Ular didakwa membahayakan keselamatan pengguna.
KULIM - Pembinaan pembahagi jalan di jalan Taman Kenari -Sungai Ular didakwa  membahayakan keselamatan pengguna laluan itu.

Adun Kulim, Chua Thiong Gee berkata, pembahagi jalan yang dibina sejak sebulan lalu di kawasan ini membahayakan keselamatan pengguna dan perlu diperbaiki segera.

Menurutnya,  reka bentuk pembahagi jalan yang lebar di bahagian hujung tidak sesuai dengan keadaan laluan di sini.

“Sepatutnya pembahagi jalan dibina untuk keselamatan orang ramai tetapi yang ini membahayakan pengguna.

“Reka bentuk pembahagi jalan itu menyebabkan laluan semakin sempit dan saya tidak tahu mengapa ia dibina seperti itu?

“Sepatutnya pihak bertanggungjawab  mengkaji terlebih dahulu mengenai pelan itu supaya  tidak mengancam keselamatan orang ramai,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Beliau berkata, ciri-ciri keselamatan yang disediakan di kawasan itu seperti lampu jalan tidak berfungsi dan papan tanda yang sukar dilihat menyebabkan pengguna terdedah pada bahaya.

Menurutnya, ramai di antara pengguna jalan itu tidak nampak dengan isyarat awal keselamatan keran tidak berfungsi dengan baik.

"Jika kemalangan berlaku mangsa boleh saman pihak bertanggungjawab kerana kegagalan mereka,” katanya.

Thiong Gee menggesa pihak bertanggungjawab segera mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah melaporkan beberapa pengguna dan penduduk menyuarakan kebimbangan dengan keadaan pembahagi jalan itu yang menyebabkan beberapa kemalangan berlaku. -Sinar Harian