Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Seorang ahli akademik veteran berkata pemberhentian
6,000 pekerja Malaysia Airlines (MAS) dalam pelan penyusunan semula
syarikat penerbangan nasional itu harus diterima sebagai ‘qada dan
qadar’ oleh kakitangan terbabit kerana inilah usaha terakhir untuk
menyelamatkan MAS.
Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, langkah Khazanah Nasional
Berhad mengurangkan kakitangan MAS sebagai salah satu asas utama pelan
itu perlu diteruskan walaupun berdepan dengan ancaman mogok oleh
Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) dan tiada
sebab mengapa langkah itu perlu ditarik balik.
Dr. Zainal dari Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia
berkata, para pekerja sewajarnya menerima hakikat bahawa MAS secara
teknikalnya telahpun muflis seperti yang dijelaskan oleh Ketua Pegawai
Eksekutifnya, Christoph Mueller baru-baru ini dan perberhentian pekerja
adalah opsyen yang muktamad.
Lagipun, mereka yang diberhentikan mempunyai peluang pekerjaan
alternatif di samping menerima pampasan sewajarnya seperti terkandung di
dalam perjanjian bersama (CA) untuk kebajikan mereka, katanya kepada Bernama.
Beliau merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk
Ahmad Maslan pada Rabu lepas bahawa sebanyak 5,500 peluang pekerjaan
ditawarkan 30 syarikat kepada kakitangan berkenaan.
Ini termasuk dua syarikat penerbangan tempatan iaitu AirAsia dan
Malindo Air menawarkan peluang pekerjaan kepada 6,000 kakitangan MAS
yang diberhentikan itu.
Ahmad juga berkata, pampasan dan kemudahan yang disediakan untuk
kebajikan kakitangan yang tidak lagi berkhidmat dan yang masih kekal
dalam MAS, menelan belanja RM1.5 bilion.
Timbalan Menteri itu juga berkata kerajaaan terpaksa membelanjakan
RM19.2 bilion sejak tahun 2001 hingga 2014 bagi memulihkan MAS akibat
kegagalan penswastaannya pada tahun 1990-an.
Dr. Zainal berkata pemberhentian kerja adalah lumrah bagi kakitangan
di syarikat-syarikat, baik swasta atau milik kerajaan sekali pun,
sekiranya operasi mereka terus mengalami kerugian.
“Jadi bermakna, orang terpaksa kembali kepada menerima qada dan qadar lah,” katanya.
Merujuk kepada ancaman mogok oleh NUFAM, beliau berkata langkah itu
tidak patut diteruskan dan akan hanya merugikan lagi semua pihak tetapi
beliau yakin syarikat penerbangan itu mempunyai pelan kontingensi atau
pelan B untuk menangani kemungkinan itu.
“Apa saja jenis perniagaan tiada jaminan akan kejayaannya. Tetapi
sekurang-kurangnya, golongan yang mengkaji masalah MAS sudah memahami di
mana letaknya kos yang paling besar, yang paling berat, tak
menguntungkan, yang merugikan.
“Jadi yang terbesar ini kos pengurusan, bukan kos teknikal. Walaupun
Mueller nak mengurangkan bilangan kapal terbang, bilangan jenis laluan
penerbangan, jadi bermakna sekurang-kurangnya daripada pengalaman yang
amat pahit ini dalam usaha-usaha yang lampau ini, dia telah tahu di mana
kos yang wajib dikurangkan, untuk mendapat kecekapan efisiensi itu,”
katanya.
Syarikat penerbangan negara telah mencatat kerugian lebih daripada RM4.9 billion sejak permulaan tahun 2011.
Mueller telah mengatakan syarikat penerbangan baharu, Malaysia
Airline Berhad (MAB), merupakan sebuah entiti yang lebih kecil, hanya
dapat menampung kira-kira 14,000 pekerja.
Dr. Zainal juga berkata, dalam industri penerbangan, sukar bagi
pemain industri untuk memberi jaminan tentang apa yang akan berlaku
tahun hadapan.
“Tahun hadapan adakah harga minyak akan turun atau naik balik dan
sebagainya; dan persaingan sudah makin hebat dan sebagainya. Tapi
sekurang-kurang kita yakin kita boleh buat dengan yang lebih kecil, yang
lebih kompak, yang lebih efisen, dan barang kali yang lebih komited,”
katanya. – BERNAMA