Pemerdagangan Manusia: Belum Ada Laporan Renjer Hutan Terlibat

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel
PETALING JAYA – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar belum menerima sebarang laporan yang mengaitkan pembabitan renjer hutan dengan sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa susulan penemuan kawasan perkuburan besar di Perlis baru-baru ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri G. Palanivel berkata, justeru beliau tidak dapat mengesahkan jika ada renjer hutan terlibat dengan kegiatan itu.

“Saya tak pasti tentang ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Ibu anjuran MIC Selangor di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, polis menyiasat kemungkinan pegawai penguat kuasa perhutanan mempunyai jalinan kerjasama dengan sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa.

Ahmad Zahid berkata, siasatan awal mendapati terdapat renjer bekerjasama bukan sahaja dengan penyeludup warga tempatan tetapi juga dari Thailand, Bangladesh dan Myanmar.

Pada Isnin, polis menemukan 139 buah kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis di sempadan Malaysia-Thailand. – BERNAMA