Pemilihan UMNO: "Saya Tangguh Dulu Pasal Takut Bergoncang" - Tun M

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) sempat berjenaka di hadapan jurugambar dengan memakai songkok gergasi ketika melawat Kompleks Perniagaan Pekan Rabu hari ini. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR – Keputusan untuk menangguhkan pemilihan UMNO yang dijadualkan pada tahun depan selama 18 bulan merupakan tindakan biasa, yang turut pernah dilakukan sebelum ini, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno itu berkata, beliau juga pernah menangguhkan pemilihan UMNO ketika memimpin parti utama komponen Barisan Nasional (BN) itu berikutan beberapa sebab.

“Saya dulu pun biasa tangguh juga (pemilihan UMNO). Saya tangguh pasal takut bergoncang dalaman, masalah dan perpecahan parti,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau terdahulu sempat meluangkan masa melawat Ukir Mall yang menempatkan sementara peniaga kompleks Pekan Rabu yang sedang dalam proses pengubahsuaian, di bandar raya ibu negeri Kedah itu.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO menangguhkan pemilihan bagi memberi peluang kepada parti untuk berkhidmat kepada rakyat dan mengukuhkan perpaduan.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata penangguhan itu dibuat mengikut Fasal 10.16 perlembagaan parti yang memberi hak kepada MT untuk menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian dan cawangan.

Mengenai lawatannya di Ukir Mall, beliau yang ditemani isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali berkata, bilangan peniaga di kompleks membeli-belah yang terletak di tengah-tengah Alor Setar semakin ramai.

Kompleks beli-belah ini merupakan penempatan sementara bagi peniaga asal Pekan Rabu berikutan pembinaan semula pusat membeli-belah ikonik itu yang akan mengambil masa selama dua tahun setengah.

“Apabila dia (peniaga) pindah ke sini (Ukir Mall) takut tidak ada orang, tetapi orang ramai jugak, lagi ramai,” katanya dan berharap, pihak berkuasa akan membina bangunan lebih besar kerana bilangan peniaga semakin ramai.

Beliau juga memuji peniaga di Ukir Mall yang menjual produk berlainan dan tidak hanya tertumpu kepada barangan yang sama antara satu sama lain. – BERNAMA