Pemuda PAS Bantah Keras Kekalkan Nizar Jadi Ketua Pembangkang Perak

Salman Saleh
ALOR SETAR – Dewan Pemuda PAS Perak membantah keras pengumuman DAP untuk mengekalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Ketua Pembangkang Perak.

Meskipun Mohamad Nizar merupakan seorang ADUN PAS di Perak, namun cadangan tersebut ditentang oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur, Salman Saleh, yang menganggap tindakan DAP itu sebagai tidak wajar.

Tegas Salman, walaupun DAP mempunyai 18 kerusi DUN Perak manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS masing-masing lima kerusi tetapi DAP masih perlu menghormati pendirian PAS dalam soal tersebut.

“Dalam keadaan sekarang ini juga kedudukan Mohammad Nizar bukan lagi memegang jawatan utama di dalam PAS perlu diambil kira oleh DAP.

“DAP perlu menghormati pendirian PAS dalam perkara ini dan dengan mengekalkan Mohammad Nizar bukan jalan terbaik mengukuhkan keadaan hubungan antara PAS dan DAP,” tegasnya dalam satu kenyataan media.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming beberapa hari lalu menegaskan bekas Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar akan kekal sebagai Ketua Pembangkang Perak walaupun kerjasama antara kedua-dua parti itu sudah berakhir.

Mohammad Nizar yang merupakan pemimpin PAS pro-Pakatan Rakyat yang tersingkir daripada jawatannya dalam parti oleh ahli PAS dalam pemilihan parti itu baru-baru ini, dipercayai gara-gara sikapnya yang menghentam Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terang-terangan.

Beliau gagal mengekalkan jawatannya dalam Jawatankuasa PAS Pusat malah turut tersingkir dari jawatan akar umbi sebagai Ketua Cawangan PAS Kampar yang disandangnya sejak 14 tahun lalu dan digantikan dengan seorang guru agama.

Salman dalam pada itu mencadangkan supaya Badan Perhubungan PAS Negeri Perak menyerahkan kembali jawatan Ketua Pembangkang negeri itu kepada DAP untuk memberi tekanan kepada parti itu.

“Jika DAP masih mahu kerusi Ketua Pembangkang DUN ini kekal kepada PAS, biar PAS tentukan siapakah yang paling layak mendudukinya,” tegasnya. -Kedahnews.com