Dr. Raja Ahmad Iskandar |
KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) semalam meluahkan keyakinan mereka terhadap kerajaan
Malaysia yang dilihat mampu memberi bantuan yang terbaik ke atas etnik Rohingya yang
menjadi pelarian di negara ini.
Pengerusi Lajnah Antarabangsanya, Dr. Raja Ahmad Iskandar berkata,
kerajaan Malaysia mampu melakukan lebih baik berbanding negara-negara lain
yang hanya melihat sahaja penderitaan itu tanpa sebarang inisiatif.
“Kami cukup sedih dengan tempoh yang agak panjang tanpa ada tindakan
yang sewajarnya diberikan kepada etnik Rohingya dan seolah-olah
masyarakat dunia begitu takut dan kurang upaya.
“Di Malaysia, kami meminta kerajaan menggunakan ruang yang ada untuk
terus membantu etnik Rohingya yang menjadi pelarian di sini,” katanya
dalam satu kenyataan media, semalam.
Raja berkata, pihaknya turut berharap Kesatuan Ulama Antarabangsa
memain peranan untuk memberi rangsangan dan semangat kepada etnik
Rohingya yang kini menjadi pelarian agar cekal dengan penderitaan
dialami.
Katanya, Lajnah Antarabangsa DPPM turut meminta kawasan pentadbiran
Yangon mengarahkan tenteranya berundur dari penempatan entik Rohingya di
Arakan, Myanmar dengan segera. -Kedahnews.com