Pendapatan Isi Rumah Dilapor Meningkat RM4,585

KUALA LUMPUR – Pendapatan isi rumah bulanan penengah Malaysia pada 2014 meningkat 11.7 peratus setahun kepada RM4,585 berbanding RM3,626 pada 2012.

Jabatan Perangkaan berkata demikian dalam Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2014, yang mengumpulkan data berkaitan ciri-ciri isi rumah Malaysia.

“Penyiasatan ini telah dilaksanakan melalui kaedah temu ramah bersemuka dalam tempoh 12 bulan sepanjang 2014, merangkumi strata bandar dan luar bandar.

“Secara umumnya, terdapat empat punca pendapatan yang boleh diterima (terakru) oleh isi rumah iaitu pendapatan daripada pekerjaan bergaji, bekerja sendiri, pendapatan daripada harta dan pelaburan serta pindahan semasa diterima,” katanya dalam satu kenyataan.

Pendapatan isi rumah bulanan purata Malaysia meningkat 10.3 peratus setahun kepada RM6,141 pada 2014 daripada RM5,000 pada 2012, katanya.

Jabatan Perangkaan berkata, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan pendapatan penengah tertinggi iaitu RM7,620 diikuti oleh Putrajaya (RM7,512), Selangor (RM6,214), Wilayah Persekutuan Labuan (RM5,684), Johor (RM5,197), Melaka (RM5,029) dan Pulau Pinang (RM4,702).

Negeri-negeri lain merekodkan pendapatan penengah di bawah paras nasional iaitu RM4,585.

Menurut jabatan itu lagi, Kuala Lumpur mencatatkan pendapatan isi rumah bulanan purata tertinggi sebanyak RM10,629, diikuti dengan Putrajaya (RM10,401), Selangor (RM8,252), Labuan (RM7,591) dan Johor (RM6,207).

“Negeri-negeri lain merekodkan pendapatan purata di bawah paras nasional (RM6,141),” katanya.
Pekali Gini turun sebanyak tiga mata peratus daripada 0.431 pada 2012 kepada 0.401 pada 2014, katanya.

“Ini menunjukkan pengagihan pendapatan isi rumah di Malaysia bertambah baik,” katanya. – BERNAMA