Penduduk Kampung Di Kubang Rotan Terpaksa Lalu Jalan Rosak Setiap Hari

Mohd Idris (kiri) bersama Husaim (dua, kanan) dan Mat Pisol melihat keadaan penunggang motosikal yang terpaksa melalui jalan rosak berkenaan.
KUALA KEDAH - Kira-kira 1,000 pengguna di beberapa kampung di Kubang Rotan, di sini, menggunakan jalan rosak setiap hari.

Difahamkan, antara kampung terlibat berdepan masalah kerosakan berkenaan adalah Kampung Pekan Hilir, Kampung Masjid dan Kampung Telaga Juan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Hilir, Mohd Idris Mahmud berkata, pihaknya bimbang kejadian tidak diingini berulang.

“Ada kalanya, kemalangan kecil berlaku. Terbaru, ada penduduk luar mengalami kecederaan di bahagian muka apabila motosikal dinaiki terjatuh sewaktu melalui jalan rosak itu.

“Jalan kampung sepanjang kira-kira 1 kilometer (km) ini rosak dipercayai berpunca apabila kenderaan berat keluar masuk untuk menyiapkan sebuah projek perumahan,” katanya.

Masalah sama disuarakan Pengerusi JKKK Telaga Juan, Husaim Hamid dan Pengerusi JKKK Masjid, Mat Pisol Mohamad yang mengharapkan tindakan sewajarnya segera.

Husaim berkata, jalan kampung berkenaan boleh dianggap laluan utama kebanyakan penduduk untuk ke destinasi diinginkan mereka, seperti sekolah ataupun tempat kerja.

Mat Pisol pula berkata, mereka merayu mana-mana pihak membaiki kerosakan jalan semula dan menurap laluan berkenaan segera demi kemudahan penduduk.
 
Sumber: Sinar Harian