Seorang pengunjung kedai makan menunjukkan lalat menghurung makanan dan minuman. |
KULIM - Kira-kira 200 penduduk Kampung Sungai Tengas, di sini, rimas
dengan kehadiran beribu-ribu lalat di kampung itu sejak 10 tahun lalu.
Seorang penduduk, Abu Bakar Jaafar, 70, berkata, masalah lalat itu
didakwa berpunca dari ladang ternakan ayam di kawasan berhampiran.
Menurutnya, makanan dan minuman sama ada di rumah mahu pun di gerai makan banyak dihurung lalat.
"Keadaan ini membahayakan penduduk kerana makanan serta minuman mungkin tercemar,” katanya.
Seorang pembantu kedai makan, Norliza Abd Talib, 42, berkata, kehadiran
beribu lalat terutama ketika waktu proses pengeluaran ayam
merunsingkannya untuk berniaga.
“Bukan saja lalat hurung makanan malah kerusi atau meja membuatkan pelanggan merasa jijik.
“Saya juga bimbang untuk menjual makanan kepada pelanggan kerana lalat ini mungkin membawa pelbagai jenis penyakit,” katanya.
Malah, Norliza berkata, dia juga terpaksa menyediakan wang lebih untuk
membeli kertas pelekat lalat bagi mengurangkan serangga itu.
“Saya hanya berniaga kecil-kecilan di kawasan kampung ini, hasil
pendapatan terpaksa membeli banyak pelekat lalat pula pada setiap hari,”
katanya.
Tambahnya, kadangkala makanan yang sudah dimasak dan untuk jualan dihurung lalat walaupun ditutup sebaiknya.
“Selepas masak saya hidangkan di dalam bekas khas siap dengan penutup
dan letakkan atas meja supaya pelanggan mudah untuk membuat pilihan.
"Namun lalat ini akan masuk dan meninggalkan telurnya yang boleh
merosakkan makanan dan ini menyebabkan kami sebagai peniaga kerugian,”
katanya.
Sumber: Sinar Harian