Penduduk Serdang Dakwa Kilang Sawit Punca Udara Tercemar

Gambar Hiasan
SERDANG - Penduduk Kampung Sungai Tengas merayu pihak berwajib mengambil tindakan segera terhadap kilang yang didakwa masih beroperasi dan menyebabkan pencemaran udara.

Pengerusi Persatuan Belia Kampung Keda Sungai Tengas, Mohd Fadzli Mat Saat berkata, dia masih mendapat aduan daripada penduduk kampung mengenai pencemaran udara yang berpunca daripada kilang kelapa sawit yang masih beroperasi.

Menurutnya, habuk dari kilang kelapa sawit tersebut juga menyebabkan tingkap kediaman dan kenderaan berdebu walaupun baru dicuci.

“Saya masih menerima banyak rungutan dan aduan daripada penduduk mengenai masalah habuk dari kilang kelapa sawit itu.

“Saya tak pasti bagaimana kilang itu boleh beroperasi lagi sedangkan ia tidak mendapat kelulusan dan tiada lesen," katanya.

Sebelum ini, kira-kira 100 penduduk mengadakan bantahan terhadap sebuah kilang memproses kelapa sawit yang didakwa beroperasi secara haram sejak sembilan tahun lalu.

Difahamkan, kilang terbabit menjejaskan kehidupan kira-kira 1,000 penduduk dari enam kampung berhampiran termasuk Kampung Sungai Buloh, Kampung Keda Sungai Buloh, Kampung Sungai Tengas dan Kampung Sungai Batu.

Ia menyebabkan pencemaran udara yang memberi kesan terhadap kesihatan penduduk, terutama warga emas dan kanak-kanak.

Malah, operasinya turut mencemarkan Sungai Dingin yang menyebabkan pengeluaran hasil kelapa sawit di kawasan terlibat terjejas.

Bukan itu sahaja, disebabkan itu juga banyak ikan mati dan penduduk tidak boleh mandi di sungai berkenaan.

Berikutan masalah itu, pihaknya juga pernah membuat laporan polis terhadap kilang terbabit.

Dalam pada itu, Mohd Fadzli juga menggesa pihak berwajib, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan Negeri bertindak segera menangani isu berkenaan.

“Kita sudah lama bersabar dan berharap pihak berwajib dapat mengatasi masalah ini dengan segera,” katanya.

Difahamkan, beberapa agensi, termasuk JAS, Majlis Daerah Bandar Baharu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta bomba sudah mengadakan lawatan mengejut April lalu.

Sumber: Sinar Harian