Pengadu Tarik Balik Laporan Polis Terhadap Guru Kanan Sekolah Di Sg Petani

SUNGAI PETANI – Seorang waris sebuah sekolah kluster berprestasi tinggi yang membuat laporan polis berhubung isu ketidakpuasan hati dengan kenyataan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) menarik balik laporan terbabit, semalam.

Waris terbabit, Jayasharma Gopalkr, 37, berkata, penarikan itu dibuat setelah objektif yang diinginkan terhadap kes itu tercapai.

“Objektif kami ialah mahu tindakan terhadap guru terbabit diambil, dia telah pun membuat permohonan maaf dalam perhimpunan khas selain dipindahkan ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

“Saya berpuas hati dan kini mahu bertindak secara profesional dengan menarik balik laporan polis,” katanya kepada media semalam.

Difahamkan, pihak sekolah melalui guru terbabit membuat permohonan maaf melalui perhimpunan khas kepada murid sebagai penjelasan dan guru terbabit juga sudah dipindahkan ke PPD sementara siasatan dijalankan.

Bagaimanapun, menurut Jayasharma, setakat ini, hanya dia seorang sahaja membuat penarikan balik laporan polis itu sementara 11 orang lagi yang turut bersamanya ketika membuat laporan polis masih belum berbuat demikian.

Namun beliau yakin, beberapa ibu bapa lain akan turut melakukan perkara sama selepas objektif yang ingin dicapai terlaksana.

Beliau yang juga merupakan bekas pelajar sekolah sama mengharapkan pembelajaran anaknya yang kini berada dalam tahun empat di sekolah berkenaan tidak terjejas dan kembali diteruskan seperti biasa.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke sekolah terbabit mendapati kawalan diperketat di mana larangan terhadap ibu bapa dikeluarkan supaya tidak memasuki kawasan sekolah.

Segala urusan penghantaran dan pengambilan anak hanya boleh dilakukan di pintu kedua sahaja.

Ia susulan kes terbaru apabila pondok pengawal sekolah terbabit dikatakan mengalami kebakaran kecil akibat tindakan pihak tertentu yang didakwa membaling molotov koktel dalam kejadian jam 9.50 malam kelmarin.

Difahamkan, tindakan berkenaan dilakukan susulan isu tidak puas hati dengan kenyataan PK HEM sekolah terbabit yang meminta murid bukan Islam makan atau minum di tandas.

Sumber: Sinar Harian