Pengantin Diarak Naik Bas "Hop On Hop Off" Di Kg Pokka, Kuala Nerang

Zamzuri (kiri) dan Azma melambaikan tangan apabila bas dinaiki sampai di rumah pengantin.
KUALA NERANG - Sepasang pengantin melakar sejarah dalam hidup mereka dengan berarak menaiki bas dua tingkat Hop On Hop Off di Kampung Pokka, di sini, semalam.

Pasangan pengantin, Zamzuri Hanapiah, 29 dan Azma Azmi, 28, tidak menyangka syarikat bas yang beroperasi di Pulau Pinang itu membenarkan mereka berarak menggunakan pengangkutan berkenaan.

Zamzuri yang juga pemandu bas syarikat itu berkata, perarakan sejauh 20 kilometer itu bermula dari rumah isterinya di Kampung Nai Teh hingga ke Kampung Pokka dengan dihadiri ahli keluarga dan kakitangan syarikat bas berkenaan.

Menurutnya, dia terharu kerana mendapat perhatian orang ramai dan berpeluang diarak menggunakan pengangkutan itu pada hari bersejarahnya.

"Paling menggembirakan ialah keseluruhan perhiasan di dalam dan atas bas itu telah dilakukan sendiri oleh rakan sekerja.

“Apabila pihak pengurusan membenarkan bas itu dibawa pulang untuk majlis perkahwinan saya, beberapa kawan sanggup meluangkan masa menghias bas itu selama dua hari ,” katanya.

Zamzuri berkata, dia dan isteri merupakan pasangan kedua menggunakan bas itu.

Jelasnya, walaupun baru bekerja selama tujuh bulan di syarikat berkenaan dia sangat menghargai jasa baik pihak pengurusan syarikat bas tersebut.