Pengarah Erma Fatima Fail Permohonan Cerai Terhadap Bade

ALOR SETAR - Pengarah filem tersohor, Erma Fatima dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Badaruddin Azme (Bade) di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur, semalam, selepas 25 tahun mendirikan rumah tangga.

Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 47, selaku plaintif dikatakan telah memfailkan permohonan tersebut mengikut Seksyen 47 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Pasangan berdarah seni itu kini mempunyai lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 22, Ahmad Arir, 20, Ahmad Aifin, 18, Citra, 13, dan Nurain, sembilan tahun.

Pada Mei tahun lalu, Bade yang merupakan pengarah filem bernikah dengan isteri kedua yang dikenali sebagai Aida Abdul di negara jiran dan mengadakan majlis persandingan di Cherating, Pahang, beberapa minggu selepas itu.

bade
Bade bersama isterinya, Aida Abdul.

Hasil perkahwinan itu, Bade dan Aida dikurniakan seorang anak lelaki, Jihad yang dilahirkan pada Disember tahun lalu.

Sebelum ini, turut dilaporkan bahawa hubungan Erma dan Bade tetap mesra meskipun suaminya itu telah bernikah dengan Aida.

Malah, beberapa keping gambar yang dimuat naik Erma di laman sosialnya bersama Aida jelas menunjukkan kemesraan antara dua wanita yang bermadu itu.

Permohonan cerai yang tidak dinyatakan sebab perkara yang menjadi punca tersebut dijangka menggemparkan ramai peminat industri hiburan tanahair. -Kedahnews.com